Asia Pacific Master Games 2018 di Pulau Pinang, jangka bawa RM20 juta kesan berganda

Admin

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menjadi tuan rumah sulung di rantau Asia bagi penganjuran Asia Pacific Masters Games 2018, dengan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta untuk kejohanan antarabangsa tersebut, selain RM1 juta lagi daripada Malaysia Major Events Division (MME).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penganjuran kejohanan itu yang merupakan kali pertama dihos di rantau Asia pada 8-16 September nanti, diharap akan memberi kesan berganda (multiplier effect) lebih RM20 juta kepada sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Ia (kojahanan ini) akan meningkatkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan, kami (Kerajaan Negeri) menjangkakan sekurang-kurangnya 5,000 peserta untuk sukan, yang mana 60 peratus (3,000) adalah peserta asing bakal menghabiskan masa dan berbelanja di sini bersama kawan-kawan dan keluarga masing-masing sepanjang musim saingan,” jelasnya pada sidang media bersama-sama semua wakil penganjur dan penaja di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Exco-exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain serta Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Masters Games 2018.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM4.5 juta, manakala, Kerajaan Persekutuan akan menaja RM1 juta.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan menerima anggaran wang RM2 juta daripada yuran pendaftaran, sekali gus mengurangkan kos dijangka RM2.5 juta dengan nilai ekonomi dijangka sebanyak RM20 juta,” jelasnya.

Manakala Chong Eng ketika berucap, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan acara berprestij peringkat antarabangsa itu berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Saya percaya dengan komitmen Kerajaan Negeri serta sokongan persatuan sukan seperti MSN (Majlis Sukan Negeri), KBS (Kementerian Belia & Sukan), OCM, IMGA dan PGT (Penang Global Tourism) dan Tourism Malaysia, kita boleh menjadikan acara ini suatu kejayaan yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Difahamkan, World Masters Game merupakan kejohanan acara sukan pelbagai yang dianjurkan empat tahun sekali, melibatkan penyertaan mereka yang berusia 35 tahun dan ke atas.

Kali pertama kejohanan itu dianjurkan pada tahun 1985 di Toronto, Canada, dan Pulau Pinang menjadi tuan rumah pertama di rantau Asia Pasifik (2018).