SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui anak syarikatnya, Zakat MAINPP memperuntukkan kira-kira RM450,000 untuk membina baharu lima unit kediaman yang dikenali sebagai Inapan Kasih kepada asnaf yang layak sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP memberitahu bahawa dua unit Inapan Kasih telahpun siap dan akan diserahkan pada hari ini, sementara baki akan mengambil masa pemajuan selama dua bulan lagi.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata sedemikian selepas bertemu sendiri dengan salah seorang penerima unit kediaman Inapan Kasih Zakat MAINPP, Tom Mat Zain, 80, di Kampung Permatang Nibong di sini pada 24 Julai 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazali; Pegawai Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry Jaafar Sidek dan sekalian anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Kandu turut sertai majlis tersebut.
“Jika memenuhi syarat-syarat permohonan, Zakat MAINPP bukan sahaja komited membina baharu rumah Inapan Kasih, malah perbaiki rumah lama (terutama) asnaf fakir dan miskin,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Di sebalik usaha Zakat MAINPP melaksanakan projek bina baharu Inapan Kasih buat asnaf yang layak, Mohamad berharap semua pihak berkepentingan dapat membantu badan agama itu mencapai kutipan zakat fitrah dan zakat harta berjumlah RM200,000 pada tahun ini.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Mohamad memberitahu pada tahun ini Zakat MAINPP memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta, dan berjaya menyiapkan sembilan unit kediaman Inapan Kasih.

Tom yang ditemui kemudian menzahirkan penghargaan kepada Zakat MAINPP kerana meluluskan permohonan bantuan unit kediaman Inapan Kasih.
“Tidak ada ucapan melainkan terima kasih dan alhamdulillah kerana rumah lama yang kami duduk sekarang adalah atas tanah orang lain.
“Anak saya memohon bantuan zakat, mereka (Zakat MAINPP) bersetuju untuk membina Inapan Kasih dalam masa dua bulan dari sekarang kerana saya ada sebidang tanah tinggalan allahyarham suami,” jelasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
 
            
         
                        