Astaka Kota Selera bukti pembangunan awam berkualiti seiring pemeliharaan warisan

Admin
f8fe4cf0 d860 486b a708 94ce06537574

GEORGE TOWN – Astaka Kota Selera terus mengharumkan nama Pulau Pinang apabila dinobatkan sebagai ‘Building of the Year 2026’ selain menerima ‘Gold Award’ bagi Kategori Commercial Low Rise pada penganugerahan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM Awards) 2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan berprestij itu membuktikan pembangunan awam berkualiti mampu mengimbangi kecemerlangan seni bina, pemeliharaan warisan, kelestarian alam sekitar serta memenuhi keperluan masyarakat.

05a3c1c2 6456 41bd 8cbd d6025a74f5b9
KETUA Menteri.

Menurut beliau, kejayaan tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan bandar yang berkualiti, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Hari ini bukan sekadar meraikan sebuah pengiktirafan, tetapi membuktikan bahawa pembangunan awam yang berkualiti mampu mengimbangi kecemerlangan seni bina, pemeliharaan warisan, kelestarian alam sekitar serta keperluan masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) selaku pemilik projek dan EA Architects Sdn. Bhd. atas kejayaan Astaka Kota Selera yang dinobatkan sebagai ‘Building of the Year 2026’ serta menerima ‘Gold Award’ bagi Kategori Commercial Low Rise dalam PAM Awards 2026,” ujarnya semasa berucap  pada Majlis Penyerahan Anugerah PAM Awards 2026 kepada projek Astaka Kota Selera di sini pada 9 Julai 2026.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi; Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd., Dato’ Hamdan Majeed; Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Astaka Kota Selera, Dato’ Dr. Shahul Hameed; Naib Presiden Ismaili Council for Southeast Asia, Azmin Dato’ Saduruddin; Pengarah EA Architects Sdn. Bhd., Ar. Liou Hung Woei serta Pengarah Projek Jayamas Property Construction Sdn. Bhd., Kenny Ooi Wei Boon.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa kejayaan berkenaan merupakan hasil perancangan sejak tahun 2017 menerusi program North Seafront di bawah Strategic Master Plan George Town.

Dengan kos pembinaan sekitar RM3.35 juta, tambah beliau, Astaka Kota Selera membuktikan projek pembangunan berskala sederhana juga mampu memberikan impak besar sekiranya dirancang berasaskan visi yang jelas.

“Astaka Kota Selera dibangunkan semula sebagai sebahagian daripada Projek Penyediaan Semula dan Konservasi Parit Kubu (Moat) Fort Cornwallis.

“Projek ini mentransformasikan ruang niaga awam kepada sebuah fasiliti yang lebih teratur, selesa dan kondusif tanpa menjejaskan nilai sejarah kawasan sekitarnya,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

f87c6bba 4ae3 42be a60a ef17047491ea b9f312f0 ecd2 4823 b421 df658f360a4c 2d0f2632 06ab 45b9 a913 79d4b037a5e6 ab7b1427 68fa 4f62 b1c6 9ae5078d711e
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa reka bentuk bangunan berkonsepkan ‘low-rise’ mengambil kira konteks warisan Fort Cornwallis dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Penggunaan elemen bata merah berjaya mengekalkan kesinambungan visual kawasan bersejarah ini, sekali gus membuktikan bahawa pembangunan moden mampu bergerak seiring dengan pemeliharaan warisan.

“Astaka Kota Selera kini menempatkan 26 gerai makanan dengan kapasiti sehingga 224 pengunjung serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, tandas awam dan laluan mesra orang kurang upaya (OKU),” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, projek tersebut turut mengintegrasikan elemen bumbung hijau (green roof) menerusi Program Penyesuaian Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP) yang diterajui oleh Think City Sdn. Bhd. (Think City).

“Inisiatif berkenaan membantu mengurangkan fenomena Pulau Haba Bandar di samping memperkukuh daya tahan bandar terhadap perubahan iklim selaras dengan aspirasi Visi Penang2030.

“Secara keseluruhannya, kejayaan ini membuktikan bahawa arkitek dan profesional tempatan berupaya menghasilkan reka bentuk bertaraf tinggi yang menggabungkan fungsi, estetika dan pemeliharaan warisan.

“Justeru, diharap kejayaan Astaka Kota Selera akan menjadi penanda aras kepada lebih banyak projek pembangunan awam berkualiti, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan rakan-rakan strategik, lebih banyak projek pembangunan berkualiti tinggi dapat direalisasikan demi memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang progresif, berdaya huni dan lestari,” jelasnya lanjut.

c0649d2a d824 44ad 874d b814ba20a6c1 e0f3a521 d28f 483c ab19 108bd9af7fe8 c2143b85 1faf 40f4 99b9 fd1637e58a55 0c4a09e5 a28e 43f0 9819 11842b821c35 e2bda68a 720c 4580 8450 a54bd79b8c41

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : LAW SUUN TING