Atlet biliard dan snuker terima SKIMAS tanda penghargaan

 Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Dua atlet kelahiran Pulau Pinang yang berjaya merangkul gelaran dunia dalam acara sukan biliard dan snuker pada Kejohanan Biliard dan Snuker Berpasukan Antarabangsa (IBSF) baru-baru ini menerima Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) yang masing-masing bernilai RM12,000 di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyempurnakan majlis penyampaian berkata, ganjaran tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan bakat anak negeri yang telah mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia di persada antarabangsa.

“Tahniah! Bukan mudah untuk mendapat gelaran dunia dalam sukan (biliard dan snuker) ini. “Mereka bukan sahaja telah mengharumkan nama negara, tetapi menjulang nama dan martabat Pulau Pinang di pentas dunia,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan SKIMAS kepada dua atlet berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Federick Tan (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP) dan Michael Tan (Pengerusi Persatuan Biliard dan Snuker Pulau Pinang).

Atlet, Moh Keen Ho dan Lim Kok Leong berjaya menewaskan pasukan Pakistan dalam acara akhir Snuker Berpasukan dengan jumlah kutipan mata 5-4, sekaligus membolehkan keduaduanya merangkul gelaran dunia untuk acara berkaitan yang mana ia merupakan kemenangan sulung buat pasukan snuker amatur negara.

Kejohanan IBSF yang diadakan di Karachi, Pakistan pada 15 Ogos lalu turut disertai 90 atlet dari 20 negara.

SKIMAS yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Mei lalu adalah untuk memberi galakan dan motivasi kepada atlet-atlet serta penggiat sukan negeri Pulau Pinang.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);