Golongan muda & mahasiswa harus bekerja untuk manfaat masyarakat akan datang – Fahmi Zainol

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Partisipasi demokrasi membabitkan sukarelawan dan mahasiswa pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) nanti dijangka kian melebar, berbanding pergerakan melalui parti-parti politik.

Demikian kata bekas Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Fahmi Zainol pada forum berjudul ‘Selepas Bersih 4.0: Ke Mana Hala Tuju Kita?’ baru-baru ini.

“Sebagai masyarakat Malaysia, seharusnya sedar bahawa masih banyak kerja yang perlu kita laksanakan.

“Jalan alternatif (iaitu, pergerakan sukarelawan politik) ini ke arah menjamin ‘negara rahmah’ yang lebih sempurna.

“Kita (golongan muda dan mahasiswa) seharusnya bekerja untuk manfaat masyarakat yang akan datang,” jelasnya pada majlis di sini, anjuran agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Justeru, beliau memberitahu, mahasiswa dan kaum pensyarah dari universiti awam wajar memainkan peranan ke arah memangkin kesedaran rakyat.

“Keberjayaan masyarakat sekarang mencerminkan keberjayaan masyarakat terdahulu memberikan pencerahan kepada kita,” tegas beliau.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi BERSIH Utara Semenangjung Malaysia, Datuk Dr. Toh Kin Woon turut hadir majlis tersebut.