BERTAM – Pasukan Malaysia tetap menyerlah dalam Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia ke-25 yang berlangsung dekat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam pada 24 hingga 29 Julai lalu.
Atlet woodball Malaysia yang dibarisi Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin, Muhammad Aiman Haizad Ariff Fadilah, Muhammad Ilham Amsyar Mohamad Ikhwan, Mohammad Norfazli Fitri Mohd. Azrul Isham, Mohd. Fareez Firhan Zazaruddin dan Adam Mukhriz Azny Nizam berjaya medal kejuaraan apabila tampil cemerlang dalam kategori Stroke Youth Boy’s Team.

Selain itu, pasukan negara juga muncul juara dalam kategori Stroke Team Ladies dan Stroke Team Man apabila mengalahkan pasukan dari Hong Kong dan Chinese Taipei.
Lebih membanggakan lagi apabila atlet muda negara, Nur Zalilah Mohd. Suhaimi dan Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin berjaya mengungguli kategori Single Ladies dan Single Man dengan menewaskan tujut atlet yang lain.
Pasukan beregu campuran negara juga turut cemerlang apabila Adam Mukhriz Azny Nizam dan Nur Zalilah Mohd. Suhaimi sekali lagi menewaskan semua atlet yang bertanding sekali gus dinobatkan sebagai johan dalam kategori Fairway Mixed Double.
Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Elaine Tan menyifatkan Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia ke-25 sebagai berjaya kerana telah disertai oleh 280 atlet dari lapan buah negara termasuk Malaysia.

“Kontinjen paling ramai yang menyertai kejohanan kali ini adalah dari Hong Kong dan diikuti oleh Chinese Taipei.
“Kami berharap dapat membawa semua atlet yang bertanding pada tahun ini untuk bertanding di Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-10 yang akan berlangsung di negeri Perlis pada Julai 2026,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui usai majlis penyampaian hadiah dekat sini pada 28 Julai lalu.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam, Mohd. Naim Salleh yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Elaine berkata, pasukan woodball negara kini sedang membuat persiapan rapi untuk bertarung dalam temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) yang akan berlangsung di Thailand pada Disember ini.
“Kontinjen woodball Malaysia akan membawa 24 atlet yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan 12 orang wanita dan kami berharap agar dapat menyumbang sekurang-kurangnya dua pingat emas untuk negara,” katanya sambil menambah bahawa sukan negara juga akan membuat persiapan awal bagi menghadapi Sukan SEA di Sarawak pada 2027.

Terdahulu, dalam majlis perasmian kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen pada 25 Julai lalu.
Pada majlis tersebut, Zi Sen turut menyampaikan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM85,000 kepada Persatuan Woodball Malaysia sebagai tanda sokongan kepada usaha persatuan berkaitan dalam menganjurkan pelbagai kejohanan sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Hadir sama, Presiden Persatuan Woodball Pulau Pinang, Jamaludin Yaacob; Penolong Rektor UiTM Kampus Bertam, Ts. Dr. Muhammad Azhar Mohd. Nor; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar.
Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWBF) dengan kerjasama Rangkaian Universiti ASEAN (AUN).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS