ATM, PDRM terima sumbangan Aidilfitri Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tengah) menerima kunjungan hormat Mohd. Akib Haji Yusof (kiri) dan Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kanan) di pejabatnya Komtar di sini pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Sebagaimana tahun-tahun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri bernilai RM10,000 masing-masing kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan sumbangan itu kepada Panglima 6 Briged Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Mohd. Akib Haji Yusof dan Ketua Polis Kontinjen Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain di pejabatnya dekat Komtar pada 20 April 2022.

“Kepada pihak yang menjaga keselamatan negeri Pulau Pinang (ATM dan PDRM), saya rasa (sumbangan Aidilfitri) ini adalah sumbangan yang kecil sahaja daripada Kerajaan Negeri,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan sekalian anggota ATM dan PDRM yang selama ini bertugas sepanjang musim perayaan.

Dalam reaksi lanjut, ‘Panglima’ Mohd. Akib menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow atas sumbangan Aidilfitri tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri memberi sumbangan (Aidilfitri) kepada ATM,” ujarnya.

Bertanggungjawab menjaga kawasan sempadan negara dari negeri Kedah hingga Kelantan, beliau memberitahu bahawa tiga per empat anggota di bawahnya bertugas sepanjang musim perayaan pada kali ini.

“Anggota-anggota di bawah saya berada di beberapa pos (kawalan) dan bertugas di sana,” ulasnya lanjut.

Pada kesempatan sama, Mohd. Shuhaily juga turut merakamkan penghargaan atas kecaknaan pentadbiran Kon Yeow pada jasa PDRM di Pulau Pinang selama ini.

“Bagi pihak PDRM dan seluruh kawan-kawan anggota yang bertugas di negeri ini, perkara ini diketahui umum kerana saban tahun Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan Aidilfitri kepada kami.

“Terima kasih kepada Y.A.B. Ketua Menteri…sebagaimana dimaklumkan, dalam PDRM hanya dibenarkan 10 peratus sahaja bercuti dan yang lain menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily turut memberi penerangan ringkas mengenai perkembangan terbaru insiden membabitkan tahanan yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap awal pagi tadi dan juga pelan kontigensi peringkat polis kontigen negeri dalam menjejaki mereka yang berjaya meloloskan diri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN