GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melancarkan Penang Care and Aging Initiative menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dan Backliners Sdn. Bhd. bagi memperkukuh akses penjagaan kesihatan kepada golongan memerlukan.
Program yang menjadikan Pusat Transit Harapan Pulau Pinang (PTHPP) sebagai platform permulaan itu bertujuan membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan profesional lebih dekat kepada komuniti, khususnya warga emas, individu terlantar dan golongan rentan.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kerjasama tersebut melibatkan 11 jururawat profesional daripada Backliners yang akan memberikan rawatan mengikut keperluan dan tahap kesihatan setiap penerima manfaat.
“Rawatan yang diberikan bergantung kepada keadaan pesakit, termasuk sama ada luka yang dialami memerlukan perhatian lanjut atau sebaliknya.
“Apa yang penting, mereka akan menerima perkhidmatan penjagaan yang profesional.
“Setakat ini, penghuni di PTHPP berada dalam keadaan sihat. Namun, apabila pegawai JKM menjalankan operasi menyantuni atau menyelamatkan gelandangan yang mengalami luka, mereka tidak semestinya perlu dihantar ke hospital kerana Backliners boleh memberikan rawatan awal yang bersesuaian.
“Ini sekali gus memudahkan urusan pegawai di PTHPP, sekiranya terdapat lebih banyak pihak yang ingin menyertai program kebajikan seperti ini, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukannya,” katanya semasa sesi sidang media di PTHPP dekat Jalan C.Y. Choy di sini pada 7 Ogos 2026.
Pada masa sama, Siew Khim turut menyatakan bahawa Pejabat EXCO bersama JKM Pulau Pinang akan mengenal pasti tiga klien setiap bulan untuk dirujuk kepada Backliners bagi menerima lawatan serta intervensi kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Siew Khim turut memaklumkan mengenai pembayaran Program i-Sejahtera Fasa 2 akan mula dikreditkan kepada penerima yang layak bermula 10 hingga 12 Ogos ini, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.15 juta.
“Pembayaran membabitkan seramai 8,524 penerima baharu yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan suri emas yang berdaftar sebelum 30 Jun lalu.
“Pembayaran Fasa 2 ini adalah untuk mereka yang belum pernah menerima bantuan sebelum ini, termasuk individu yang baru mencapai usia 60 tahun dan melengkapkan pendaftaran dalam tempoh ditetapkan.
“Penerima warga emas dan OKU akan menerima bantuan sebanyak RM200 seorang, manakala ibu tunggal serta suri emas menerima RM100 seorang,” jelasnya lanjut.
Tambah Siew Khim, Program i-Sejahtera turut menyediakan bantuan sekali beri (one-off) sebanyak RM1,000 kepada waris penerima Program Penghargaan Warga Emas yang meninggal dunia.

Sementara itu, Pengasas Bersama Backliners Sdn. Bhd., Warren Beh Cheng Yang berkata bahawa program berkenaan merupakan langkah awal membangunkan model penjagaan kesihatan komuniti yang mampan sebelum diperluaskan ke lebih banyak kawasan di Pulau Pinang.
“Inisiatif tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu ‘Home Nursing Visit’, ‘Caregiver Education Program’ dan ‘Care and Outreach Program for Senior Living Alone’.
“Melalui Home Nursing Visit, pasukan jururawat akan mengadakan lawatan ke rumah bagi menjalankan penilaian luka, rawatan asas, pemeriksaan kesihatan serta semakan ubat-ubatan, sekali gus membantu mengurangkan keperluan pesakit berulang-alik ke hospital.
“Kita juga akan menganjurkan program pendidikan kepada penjaga keluarga yang merangkumi penjagaan pesakit strok, pencegahan luka tekanan, teknik pemindahan pesakit secara selamat serta pemakanan melalui tiub.
“Di samping itu, bagi warga emas yang tinggal bersendirian pula, pasukan kami akan menjalankan lawatan berkala untuk membuat penilaian kesihatan asas, memberi nasihat keselamatan di rumah serta menyediakan sokongan emosi bagi mengesan lebih awal sebarang isu kesihatan atau kebajikan,” jelasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT