BELAKANG parang pun, kalau diasah akan tajam.
Demikian peribahasa yang relevan untuk menggambarkan kegigihan IDAYUANA DATU ABDULLAH bersama-sama rakan seperjuangannya, Cheah Lee Sin, Farhanah Khamis dan Nur Syariha Masri sehingga menobatkan Kumpulan Invicta sebagai juara Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri 2026 pada 28 Jun lalu.
Idayuana berkata, beliau sama sekali tidak menyangka langkah sulungnya berjinak-jinak dalam kelas pengucapan awam yang dianjurkan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), akhirnya membawanya melakar kejayaan sejauh itu.
Walaupun lebih 80 peserta menyertai saingan awal pertandingan debat tersebut, malah sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang perbahasan dan pengucapan awam, Idayuana berkata bahawa penyertaannya di arena tersebut hanyalah untuk menimba ilmu mengenai dasar-dasar progresif berkaitan kepelbagaian gender di Pulau Pinang.
Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berkesempatan menemu ramah pemimpin wanita muda berkenaan.
Menyorot kembali detik sebelum bermulanya saingan awal, Idayuana berkata para peserta, yang berjumlah sekitar 80 hingga 90 orang dan menyertai kelas pengucapan awam, disaring melalui empat siri bengkel intensif yang dijalankan secara berperingkat.
Selepas mengikuti kelas pengucapan awam selama dua minggu dalam tempoh sebulan, Idayuana memberitahu, beliau tersenarai dalam kalangan 36 pendebat terbaik untuk meneruskan latihan intensif ke peringkat akhir.
“Perjalanan menuju ke pentas akhir bukanlah satu laluan yang mudah,” jelasnya ketika ditemui pada 6 Julai 2026.

Momen mencabar di gelanggang akhir
Mengulas mengenai dinamika perlawanan akhir, Idayuana yang mempunyai pengalaman sebagai bekas ahli Sidang Wanita mengakui debaran tetap dirasai oleh semua ahli kumpulan, terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke dewan perbahasan utama.
“Pada peringkat akhir yang berlangsung pada jam 3 petang, selepas melepasi pusingan separuh akhir pada sebelah pagi, Kumpulan Invicta diletakkan di posisi blok pembangkang bagi menentang Kumpulan Seri Wibawa yang bertindak sebagai pihak kerajaan.
“Sebenarnya, sejak awal lagi Kumpulan Invicta bersedia memasuki arena debat sebagai pihak kerajaan.
“Jadi, apabila diposisikan sebagai pihak pembangkang, itulah momen yang paling mencabar bagi mana-mana kumpulan debat ala Parlimen kerana kami perlu bertindak balas secara spontan.
“Apabila pendebat pertama, kedua dan ketiga pihak lawan mengemukakan hujah serta bidasan baharu, kami yang berada di blok pembangkang perlu pantas menyusun fakta bagi mematahkan setiap hujah secara bersemuka dan tuntas,” ujar Idayuana.

Membedah isu 30 peratus wanita dalam politik
Walaupun didakap pelbagai perasaan ketika berada di pentas akhir, Idayuana memaklumkan bahawa tajuk yang diperbahaskan begitu menarik dan mungkin menjadi suatu ‘bibit tuah’ buat pasukannya.
“Bagi saya secara peribadi, tajuk ‘Penglibatan 30 Peratus Wanita Dalam Politik’ yang diusulkan dalam saingan akhir memberi sedikit nafas lega kerana dianggap sebagai topik yang sangat dekat dengan diri saya.
“Saya menganggap tajuk ‘Penglibatan 30 Peratus Wanita Dalam Politik’ itu sangat dekat kerana ia merupakan antara inti pati dan teras perjuangan wanita sejak penubuhan Sidang Wanita pada tahun 2020,” jelasnya.
Menariknya, ketika diasak dengan realiti sosioekonomi seperti kekangan kos penjagaan anak di tadika yang memaksa ramai ibu muda berpendidikan tinggi meninggalkan pasaran buruh aktif untuk menjadi suri rumah, Idayuana menegaskan bahawa isu struktur institusi dan sistem sokongan kekal menjadi tunjang utama.
Menurut beliau, faktor persekitaran, kekangan masa, kewangan serta sistem sokongan keluarga saling berkait rapat dengan peluang wanita untuk menonjolkan diri dalam kerjaya dan politik.
“Tanggungjawab menyediakan taska (taman asuhan kanak-kanak) dan tadika (taman bimbingan kanak-kanak) tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sektor swasta.
“Sebaliknya, perlu ada peluasan program sokongan daripada agensi kerajaan sendiri melalui peruntukan fiskal supaya kos penjagaan dapat ditawarkan pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding tadika dan taska swasta.
“Dengan sistem sokongan yang diperluaskan, ia sekali gus memberi pilihan kepada ibu muda untuk terus kekal dalam sektor buruh aktif walaupun mempunyai anak-anak yang masih kecil,” jelasnya sambil menyifatkan usaha memperluas operasi tadika dan taska di bawah seliaan agensi Kerajaan Negeri perlu diberi penekanan dalam agenda Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender (GRPB).
Memecah Dominasi Lelaki Dalam Arena Pembuat Dasar
Dari sudut lain, Idayuana berkata bahawa program sokongan berkaitan sebenarnya akan menggalakkan lebih ramai wanita mengisi ruang sebagai pembuat dasar, yang selama ini lebih didominasi oleh golongan lelaki.
“Memang ada kes pekerja berkemahiran tinggi akhirnya melepaskan kerjaya demi anak-anak yang masih kecil kerana melihat kos penjagaan di tadika atau taska tidak berbaloi berbanding pendapatan bulanan mereka yang tidak seberapa.
“Walaupun begitu, terdapat juga data yang menunjukkan bilangan wanita mendominasi sektor awam dan institusi pengajian tinggi, namun pada peringkat pembuatan keputusan tertinggi, ia masih lagi didominasi oleh golongan lelaki.
“Kalau kita lihat dari segi kualiti, memang ramai wanita yang mampu bercakap dan berhujah di hadapan khalayak.
“Namun, untuk mencapai kelayakan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), peratusan sedia ada masih belum memuaskan.
“Realitinya, penglibatan wanita pada peringkat Parlimen negara baharu mencecah sekitar 13.5 peratus, malah di DUN Pulau Pinang sendiri sasaran 30 peratus itu masih belum sepenuhnya tercapai,” jelas beliau.

Lahirnya pelapis baharu
Di penghujung sesi temu ramah, Idayuana turut merakamkan penghargaan atas usaha berterusan PWDC di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ong Bee Leng.
“Saya percaya program peningkatan keupayaan wanita yang dianjurkan oleh PWDC ini tidak akan sampai sejauh sekarang sekiranya tidak mendapat pelbagai bentuk sokongan daripada Kerajaan Negeri, khususnya Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow,” katanya.
Menurut beliau lagi, program pengupayaan seperti debat dan Sidang Wanita merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat terpendam serta melahirkan pelapis pemimpin wanita yang berwibawa pada peringkat akar umbi.
Melangkah ke hadapan, Idayuana yang kini memegang amanah sebagai Exco Wanita Keadilan Negeri Kedah bagi portfolio Seni Budaya merancang untuk terus aktif dalam arena politik tanah air.
Beliau yang baru-baru ini mengetuai delegasi ke Medan, Indonesia bagi Festival Gelang Melayu Serumpun berharap agar platform seperti Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri terus subur dan berkembang dalam usaha meruntuhkan tembok patriarki serta meluaskan akses peluang kepada wanita dalam arus perdana.
END