Bailey Bridge Sungai Derhaka, Jalan Permatang Pauh dibuka kepada aliran trafik

Admin
img 4699

SEBERANG JAYA – Pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular atau Bailey Bridge di Jalan Permatang Pauh merentasi Sungai Derhaka mula dibuka kepada kenderaan tengah hari tadi.

Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari projek pemasangan tersebut adalah bagi menggantikan jambatan sedia ada yang telah rosak dan tidak selamat untuk digunakan.

“Untuk makluman, kerosakan pada jambatan asal yang telah dikenal pasti adalah melibatkan struktur Abutmen telah mendap dan runtuh serta terdapat retakan pada Deck Slab di bahagian soffit jambatan.

“Sebagai makluman tambahan, Bailey Bridge ini bersifat sementara dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang telah mengangkat permohonan bagi memohon peruntukan (RM250,000) pembinaan jambatan baru secara kekal kepada Kementerian Kerja Raya.

img 4710

“Alhamdulillah, hari ini Bailey Bridge dibuka sepenuhnya kepada para pengguna,” ujarnya ketika melakukan lawatan tapak sempena pembukaan semula jambatan tersebut kepada aliran trafik di sini hari ini.

Difahamkan, kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge yang bermula 8 Oktober lalu juga siap dua hari lebih awal daripada tempoh masa sebenar.

Tambah Zairil, pembukaan semula tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk setempat tambahan pula kawasan tersebut mempunyai aliran trafik yang tinggi.

img 4704

“Terima kasih kepada pasukan teknikal iaitu JKR Malaysia, Cawangan Selenggara Fasiliti Jalan, JKR Pulau Pinang, JKR Kedah dan THB
Maintenance Sdn. Bhd. kerana berjaya menyiapkan lebih awal.

“Penghargaan juga diucapkan kepada Kementerian Kerja Raya kerana telah meluluskan peruntukkan khas bagi pembinaan Bailey Bridge dan kepada semua orang awam yang turut memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI