GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sebanyak 418 kes dan 36 kluster direkodkan membabitkan jangkitan Influenza sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41 bagi tahun 2025 yang berakhir pada 11 Oktober lepas.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut memberitahu bahawa kesemua 36 kluster ketika ini direkodkan terkawal, tidak ada kes kematian dilaporkan serta tidak ada mutasi baharu dikesan.
“Mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), semua klaster ini adalah dalam keadaan terkawal (yang mana) melibatkan kluster-kluster seperti tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT (institusi pengajian tinggi),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan kepada pemberita di Komtar pada 14 Oktober 2015.
Sumber JKNPP dipetik bahawa sebanyak sembilan kluster direkodkan bagi tempoh ME1 hingga ME39; sementara bagi tempoh ME40 iaitu mulai 28 September hingga 4 Oktober 2015, 10 kluster direkodkan.
JKNPP turut merekodkan sebanyak 17 kluster sepanjang tempoh ME41 (5 hingga 11 Oktober 2025), menjadikan kumulatif kes positif Influenza sehingga kini di Pulau Pinang berjumlah 36 kes.
Sebelum itu, Kon Yeow merasmikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Pulau Pinang di Tingkat 7, Komtar.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Hussain Moh turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS