GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menjadi bandar pintar dan mesra golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, reka bentuk sejagat dalam pembangunan penting bagi memastikan ruang awam boleh diakses oleh semua, termasuk laluan mesra kerusi roda, papan tanda visual dan sistem isyarat audio visual di bangunan awam.
“Inisiatif lain yang digerakkan adalah memastikan aplikasi dan platform komunikasi kerajaan tempatan mengandungi kapsyen, paparan visual dan alat bantu akses untuk komuniti pendengaran terhad.
“Kita juga melaksanakan pemerkasaan komuniti melalui kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil untuk meningkatkan kesedaran dan latihan berkaitan inklusiviti,” ujarnya pada sempena Seminar Kebangsaan Jurubahasa Isyarat (NASLI) 2025 dan Jemputan ASEAN dekat sebuah hotel di sini pagi tadi.
Melalui Forum Bajet MBPP 2026, perjumpaan bersama warga OKU turut diadakan bagi memenuhi keperluan dan kehendak golongan terbabit.
“Antara langkah-langkah yang telah dan akan diperkasakan adalah menyediakan jurubahasa isyarat di acara rasmi dan program komuniti bagi memastikan penyertaan menyeluruh warga OKU seperti City Walk, City Ride dan kelas bahasa isyarat.
“Langkah-langkah lain yang dijalankan adalah merujuk pusat sumber jurubahasa isyarat Pulau Pinang dan memberi sokongan kepada kerjaya jurubahasa bahasa isyarat melalui laluan kerjaya formal,” ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, Rajendran turut mengiktiraf Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) dalam memainkan peranan penting memperkukuh profesion jurubahasa isyarat seperti menawarkan program latihan dan pendidikan dalam penterjemahan bahasa isyarat serta mempromosikan kesedaran tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh jurubahasa isyarat.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN