BUKIT TENGAH – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa kontraktor penyiap baharu, Igneus Setia Sdn. Bhd. diberi masa selama 18 bulan untuk menyiapkan fasa dua projek pelebaran dan penaiktarafan dengan beberapa skop baharu di Jalan Tok Kangar, yang mana dijangka siap sepenuhnya pada 14 Oktober 2026.
Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memberitahu bahawa laluan lencongan di jalan baharu tersebut turut dibuka pada hari ini (1 Julai 2025) untuk laluan awam, demi menyuraikan kesesakan trafik di sini.
“Fasa pertama adalah pembinaan jambatan yang telah siap pada tahun 2018.
“Punca kelewatan (fasa kedua projek) sebenarnya bukan satu faktor, tetapi banyak faktor yang melibatkan isu utiliti, kontraktor dan perunding (yang mana) akhirnya kontraktor asal tidak dapat memenuhi terma-terma projek (lalu) membawa pada langkah penamatan kontrak pada 23 Disember 2024.
“Kerajaan Negeri kesal dan meminta maaf atas kelewatan, ada beberapa isu yang berlaku di luar jangkaan, paling penting kita komited untuk memastikan projek ini siap,” jelasnya selepas mengadakan lawatan tapak di sini pada 1 Julai 2025.
Difahamkan, fasa dua projek tersebut adalah merangkumi kerja-kerja pelebaran jalan dan menaik taraf jalan sedia ada dari persimpangan lampu isyarat Auto City (Jalan Perusahaan / Jalan Kebun Nanas) ke persimpangan Taman Sri Delima / Taman Delima Jati dengan 2.15 kilometer (km) jarak jalan terlibat.
Menurut Zairil, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang adalah pemilik projek fasa dua tersebut, sementara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula adalah agensi pelaksana projek.
“Kos asal projek fasa dua itu adalah RM22,981,000 (yang mana) kini meningkat pada harga RM52,841,626 kerana merangkumi kos tambahan skop baharu (RM29,869,626).
“Pembinaan jambatan baharu, kolam takungan sementara tambahan, kemudahan pusingan U dekat Taman Delima dan beberapa kerja lain merupakan antara tambahan skop baharu projek itu,” katanya.
Zairil memberitahu kontraktor asal telahpun menyiapkan 76 peratus projek fasa dua tersebut, sementara kontraktor penyiap yang baharu dilantik pada 15 April lepas telahpun menyiapkan sebanyak 4 peratus dan mengikut jadual kemajuan semasa.
Bercakap dalam sidang media sama, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berharap bahawa inisiatif kontraktor penyudah memasang lampu limpah solar sementara serta kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan yang terlibat dalam projek fasa dua tersebut dapat meningkatkan mutu keselamatan buat para pengguna jalan raya itu.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD