Bantu komuniti cakna vaksinasi kanak-kanak

Admin

GEORGE TOWN – Data sains menunjukkan bahawa vaksin mampu mengurangkan risiko kematian dan kadar kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan COVID-19.

 

Ungkapan tersebut merupakan antara mesej yang sempat dikongsi mantan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rafidah Md. Noor dalam satu kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

 

“Menerusi pertimbangan dan fakta sains, memang ada perubahan. Vaksin memberi kesan, kita boleh lihat semasa diserang varian Delta, kes (jangkitan) tinggi, begitu juga dengan kematian.

 

“Namun, selepas 90 peratus populasi dewasa divaksin, kes jangkitan (COVID-19) menjadi terkawal, jadi saya masih hairan mengapa masih terdapat golongan ibu bapa yang enggan memberi kebenaran untuk anak-anak mereka menerima vaksin,” ujarnya pada sesi perkongsian sebentar tadi.

 

Bercerita mengenai pengalaman, Rafidah mula berkhidmat di Pulau Pinang pada tahun 1998 sehingga 28 Februari 2022. Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat di negeri Kedah dan Selangor selama beberapa tahun menjadikan tempoh keseluruhan perkhidmatannya adalah 34 tahun.

 

Kekosongan jawatan beliau kini diisi oleh Dr. Azizah Abdul Manan yang sebelum ini merupakan Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut.

 

Ditanya mengenai aktiviti selepas bersara, Rafidah lebih berminat membantu komuniti untuk lebih cakna untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak.

 

Selamat bersara Dr. Rafidah dan terima kasih atas usaha serta bakti yang dicurahkan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN