Bantuan Penang 2030 COOP Grant dinaikkan kepada RM450,000

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Bantuan Penang2030 COOP Grant bagi tahun 2023 sejumlah RM450,000 berbanding RM300,000 bagi tahun-tahun sebelum ini.

 

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, peningkatan tersebut bertujuan merancakkan lagi ekonomi negeri melalui gerakan koperasi.

 

 

“Penambahan daripada jumlah asal RM300,000 kepada RM450,000 berdasarkan penglibatan aktif koperasi dalam membantu komuniti serta rekod prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh koperasi yang telah menerima manfaat sebelum ini.

 

 

“Bantuan Penang 2030 COOP Grant akan meliputi dua kategori iaitu permohonan bagi tujuan infrastruktur atau modal pusingan yang berjumlah RM10,00 maksimum bagi setiap koperasi yang memohon serta mengikut keputusan Jawatankuasa Penilai dan ini akan memberi peluang kepada koperasi yang benar-benar memerlukan untuk memulakan atau memulihkan perniagaan mereka,” ujar Ahmad Zakiyuddin dalam satu sidang media di Komtar di sini hari ini.

 

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang (SKMPP), Norlelah Samsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Othman.

 

 

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin memaklumkan, permohonan bantuan ini akan diselaraskan oleh SKMPP bagi menyusun dan mengemaskini semua permohonan daripada koperasi mengikut syor dan justifikasi yang telah ditetapkan.

 

 

 

Norlelah dalam pada berkata, permohonan boleh dikemukan kepada SKMPP melalui laman sesawang [email protected] atau hubungi talian 04-2611335.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD