Bas CAT Hospital atasi masalah parkir, mudahkan akses ke Hospital Pulau Pinang

whatsapp image 2026 01 05 at 13.31.43

AKSES ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kini lebih mudah dengan bas ulang-alik Central Area Transit (CAT) Hospital yang mula beroperasi pada 1 Januari lalu.

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, perkhidmatan yang memberi tumpuan kepada laluan terus dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke tiga hospital dan klinik utama, adalah sebagai langkah menangani masalah kekurangan parkir di hospital kerajaan serta ketiadaan laluan bas terus ke Loh Guan Lye Specialists Centre dan Island Hospital sebelum ini.

whatsapp image 2026 01 05 at 13.31.45
DANIEL Gooi Zi Sen.

 

“Perkhidmatan bas CAT Hospital ini diperkenalkan bagi memastikan pesakit, warga emas dan penjaga mempunyai akses pengangkutan yang lebih mudah, selamat dan percuma terus ke hospital tanpa perlu berjalan jauh,” katanya.

 

Walaupun terdapat beberapa laluan bas sedia ada yang berhenti di sekitar Jalan Penjara, Zi Sen menjelaskan bahawa jarak berjalan kaki ke hospital masih mencabar, khususnya bagi warga emas, mereka yang mengalami kecederaan dan yang memerlukan rawatan susulan secara berkala.

 

Keistimewaan utama laluan bas CAT Hospital adalah kedudukan hentian bas yang berhampiran pintu sisi Jabatan Ortopedik Hospital Pulau Pinang, sekali gus membolehkan perkhidmatan hampir point-to-point.

 

“Hentian yang strategik ini amat membantu pesakit yang kerap datang untuk rawatan dan pengambilan ubat, terutamanya mereka yang mempunyai masalah pergerakan.

 

“Malah, perkhidmatan bas ini turut diselaraskan dengan waktu lawatan hospital kerajaan yang berakhir pada jam 8 malam supaya pelawat dan pesakit tidak perlu tergesa-gesa pulang atau bergantung kepada pengangkutan persendirian,” ujarnya.

whatsapp image 2026 01 05 at 13.31.42
RUANGAN untuk mereka yang berkerusi roda turut disediakan dalam bas CAT Hospital.

 

Selain itu, tambahnya lagi, laluan bas CAT Hospital direka merangkumi kawasan yang kebiasaannya tidak dilalui bas awam, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengguna.

 

Penumpang dari Seberang Perai juga boleh menaiki bas CAT Bridge ke Komtar sebelum membuat pertukaran bas untuk ke hospital.

 

“Pada masa ini, sebanyak tiga buah bas disediakan dengan kekerapan setiap 20 minit, menjadikan perkhidmatan ini lebih cekap dan mudah diakses,” katanya.

whatsapp image 2026 01 05 at 13.31.44
DANIEL Gooi Zi Sen (dua dari kanan) dan Wong Yuee Harng (kanan sekali) menyantuni antara penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas CAT Hospital dari hentian terpilih ke Komtar.

 

Beliau yang ditemui ketika menaiki perkhidmatan tersebut bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng yang juga Ahli Jawatankuasa MMK Kesihatan pagi ini (5 Januari 2026) turut berkongsi pengalaman serta sempat beramah mesra dengan beberapa penumpang sambil mendengar pandangan mereka.

 

 Maklum balas yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan dan sangat positif.

 

“Sepanjang perjalanan hari ini, satu pusingan lengkap bermula dari KOMTAR, melalui keseluruhan laluan dan kembali semula hanya mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya.

whatsapp image 2026 01 05 at 13.31.41
DANIEL Gooi Zi Sen (kiri) dan Wong Yuee Harng (tengah) menyantuni salah seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas CAT Hospital pagi ini.

 

Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai dapat berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan CAT Hospital agar lebih ramai penduduk Pulau Pinang mendapat manfaat daripada kemudahan pengangkutan awam percuma ini.

 

“Kemudahan ini diwujudkan untuk rakyat dan berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya oleh mereka yang benar-benar memerlukan,” tambahnya lagi.

 

whatsapp image 2026 01 05 at 13.33.44

whatsapp image 2025 12 31 at 08.40.38 whatsapp image 2025 12 31 at 08.59.49

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar: LAW SUUN TING