Bayaran fi penyelenggaraan kediaman berstrata, tanggungjawab bersama badan pengurusan dan penghuni – Exco

Admin

BATU UBAN – Semua penghuni di kediaman berstrata bertanggungjawab menjelaskan fi penyelenggaraan dalam memastikan pengurusan bangunan dan harta bersama dapat dilaksanakan sewajarnya.

 

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, salah satu peranan badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC) bangunan kediaman berstrata adalah untuk memberi keselesaan dan menjamin keselamatan penghuninya.

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

JMB atau MC bertanggungjawab untuk mengutip fi penyelenggaraan bagi mengurus dan menyelesaikan isu-isu kritikal di kediaman berstrata masing-masing.

 

 

 

“(Dan) menjadi tanggungjawab penghuni untuk membayar dan memastikan tidak ada tunggakan (fi penyelenggaraan) atau mengharapkan pihak kerajaan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.

 

 

 

“(Hal ini kerana) menjadi tanggungjawab JMB atau MC dan penghuni kediaman berstrata untuk memastikan mahligai yang didiami bukan sahaja selesa tetapi juga selamat,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Pangsapuri Sunny Ville dekat sini pagi ini.

 

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan dan Pengerusi JMB Pangsapuri Sunny Ville, Jacqueline Soo.

 

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datok Keramat memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyediakan dana berjumlah RM276.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kediaman berstrata di negeri ini membabitkan skim perumahan awam dan swasta yang layak.

 

 

 

“Salah satu daripadanya adalah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) bagi melaksanakan pelbagai kerja-kerja selenggara di skim perumahan swasta sejak 2013.

 

 

 

Setakat hari ini, sejumlah 283 permohonan telah diluluskan merangkumi 479 projek penyelenggaraan dan menaik taraf seperti penggantian lif, bumbung, sistem saliran dan perpaipan, pengecatan semula, penggantian tangki air dan lain-lain kerosakan am mengikut terma dan syarat kelayakan.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) bersama-sama A.Kumaresan dan Jacqueline Soo menunjukkan surat penggantian salah satu lif di pangsapuri berkaitan di sini.

 

“(Dan) hari ini, melalui TPM80PP ini, sejumlah RM376,200 telah diluluskan bagi kerja-kerja penggantian empat unit lif di Pangsapuri Sunny Ville.

 

 

 

“Manakala, RM250,800 atau 40 peratus daripada kos keseluruhan RM627,000, ditanggung oleh pihak JMB di sini,” katanya sambil memuji pengurusan Pangsapuri Sunny Ville yang berjaya menanggung kos penggantian lif tersebut.

 

 

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat memberi pertimbangan untuk meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM100 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan skim perumahan di negeri ini.

 

 

 

“Sehingga Januari 2021, sejumlah RM32 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Pulau Pinang melibatkan pelbagai kerja-kerja penarafan dan penyelenggaraan.

 

 

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) harap Kerajaan Persekutuan dapat terus memberi kerjasama kerana Pulau Pinang juga layak, sebagai pembayar cukai, untuk mendapat bantuan penyelenggaraan bagi memastikan penyediaan perumahan dan penyelenggaraan kediaman berstrata dapat diteruskan,” jelasnya.

 

 

 

Sementara itu, Kumaresan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana cakna akan keselamatan dan keselesaan rakyatnya.

 

A. Kumaresan (kanan) bersama-sama Jagdeep Singh Deo pada sidang media pagi ini.

 

“Di Batu Uban terdapat kira-kira 130 bangunan berstrata dan setakat hari ini sebanyak 20 projek penyelenggaraan dan naik taraf dilaksanakan di sini melibatkan sejumlah RM2.4 juta peruntukan diluluskan.

 

 

 

 

“Terima kasih sekali lagi kepada YB (Jagdeep) dan juga Kerajaan Negeri,” zahirnya yang juga merupakan salah seorang anggota di bawah MMK Perumahan.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI