GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50.93 juta bagi pelaksanaan Program i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2026, yang akan mula disalurkan bermula 7 Februari ini, dengan pembayaran dibuat secara Electronic Fund Transfer (EFT).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan Fasa 1 bakal melibatkan 281,135 penerima terdiri daripada warga emas, suri rumah, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.
Program i-Sejahtera merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang cakna terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan rentan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela melalui pendekatan bantuan yang lebih bersasar dan berfokus.
“Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri,” ujarnya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Rozita Ibrahim serta wakil daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa penerima Fasa 1 tahun ini terdiri daripada 211,471 penerima Program Penghargaan Warga Emas; penerima Program Suri Emas (42,674); Program Bantuan OKU (16,694) dan Program Bantuan Ibu Tunggal (10,296).
Beliau berkata, jumlah peruntukan Fasa 1 tahun ini adalah sedikit rendah berbanding tahun 2025 iaitu RM56,760,200 melibatkan 290,629 penerima, susulan pengemaskinian data penerima serta penapisan kelayakan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan.
“Pendekatan yang lebih bersasar ini penting bagi menjamin kelestarian program serta keberkesanan bantuan yang diberikan,” jelasnya.
Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut memberitahu bahawa permohonan yang diterima selepas 10 Januari 2026 akan diproses untuk pembayaran Fasa 2 Tahun 2026.
Orang ramai boleh mendaftar melalui laman web rasmi i-Sejahtera (https://isejahtera.penang.gov.my) serta digalakkan mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan proses pembayaran berjalan lancar.
“Kita (Kerajaan Negeri) menjangkakan bagi tahun ini (melibatkan Fasa 1 dan Fasa 2) akan capai RM56 juta seperti tahun sebelumnya, yang mana jumlah ini merangkumi lima peratus daripada keseluruhan bajet tahunan negeri.
“Pun begitu, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui pelaksanaan Program i-Sejahtera selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 dan kerangka Malaysia Madani,” katanya.
Pada sidang media sama, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada semua jabatan pelaksana termasuk Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah, JKM, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan program berkenaan dilaksanakan dengan lancar setiap tahun.
Sementara itu, Siew Khim ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung Paras Garis Kemiskinan (PGK) bagi Pulau Pinang memaklumkan bahawa berdasarkan data terkini, rekod miskin tegar di negeri ini adalah sifar.
“Namun, tidak dinafikan bahawa angka tersebut adalah dinamik,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN