BBKN, RM1.22 juta bantu 1,591 pelajar

Gambar : VICTOR SEOW KOO TATT

AIR ITAM – Sejumlah RM44,160 melalui peruntukan Bantuan Biasiswa Kecil Negeri (BBKN) diagihkan kepada 56 pelajar terpilih dari lima sekolah menengah sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, sejak tahun 2013, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah wang setiap tahun bagi membantu membiayai keperluan belajar pelajar-pelajar kurang mampu terpilih dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima seluruh Pulau Pinang.

“Bagi tahun ini, sejumlah RM1.22 juta disediakan untuk membantu 1,591 pelajar sekolah menengah terpilih dari 122 buah sekolah seluruh Pulau Pinang.

“Pemberian biasiswa ini adalah bagi menampung keperluan pembelajaran termasuk membeli buku kerja, buku rujukan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan BBKN Pulau Pinang di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini.

Setiap pelajar menengah rendah (Tingkatan 1-3) menerima RM600 setahun, manakala bagi pelajar menengah atas (Tingkatan 4–5), RM840 setahun.

Dalam ucapannya, beliau berharap bantuan berkenaan dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus mencapai rekod cemerlang dalam akademik.

“Biasiswa ini merupakan salah satu usaha murni Kerajaan Negeri membantu meningkatkan kecemerlangan dalam kalangan pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga kurang berkemampuan.

“Diharap pihak sekolah yang hadir akan terus memberi semangat kepada pelajar-pelajar ini untuk berjaya dan berbakti kepada masyarakat kelak,” ujar beliau yang turut berkongsi pengalamannya ketika di bangku sekolah.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);