Mangsa kebakaran terima bantuan, ceriakan Aidilfitri

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Dua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang akibat insiden kebakaran di Jalan P. Ramlee baru-baru ini bersyukur dengan bantuan peribadi yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jagdeep Singh Deo di sini.

Sumbangan berupa wang tunai masing-masing berjumlah RM5,000 tersebut disampaikan sendiri oleh Jagdeep di pejabatnya di sini.

Jagdeep ketika ditemui berharap bantuan berkenaan mampu memberi sinar kecerian tatkala umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Saya harap keluarga mangsa yang terjejas terus tabah dan reda menghadapi ujian ini.

“Sumbangan yang diberikan mungkin tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya mampu meringankan sedikit bebanan ditanggung,” katanya yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan pada majlis penyerahan sumbangan berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut disampaikan, cek Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjumlah RM6,000 kepada setiap keluarga oleh Penolong Pengurus Besar ZPP, Mohd. Khairi Ghazali.

Dalam pada itu, bagi salah seorang mangsa, Mariam Che Mat, 67, beliau reda dengan ujian Allah SWT terutama menjelang bulan Syawal ini.

Jelasnya, beliau dan keluarga tidak mempunyai masalah untuk menjalani ibadah puasa sebelum ini walaupun rumah mereka musnah dijilat api.

“Begitu juga Hari Raya, cuma suasana agak suram,” ujarnya yang hadir bersama-sama anak perempuannya, Siti Haleesa Mustapha, 30.

Bagi seorang lagi mangsa, Hasan Sulaiman, 67, beliau memberitahu, persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini cuma ala kadar sahaja.

Pada 29 Jun lalu, dua buah rumah di Jalan P. Ramlee musnah dalam kejadian kebakaran di sini.}