Befrienders Penang pelawa belia jadi sukarelawan

Admin
feature befriender

BATU LANCANG – Badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dan kaunseling, Befrienders Penang kini sedang mencari sukarelawan baharu untuk memenuhi permintaan perkhidmatan yang semakin meningkat.

 

Pengerusi Befrienders Penang, Saras Pillay berkata, keperluan menambah bilangan sukarelawan menjadi semakin mendesak susulan peningkatan ketara panggilan telefon dan mesej melalui aplikasi WhatsApp ke pusat operasi mereka.

 

“Organisasi kami menyediakan talian bantuan dan sokongan kesihatan mental secara percuma kepada individu yang mengalami tekanan emosi.

 

“Sejak akhir-akhir ini, kami menerima lebih banyak panggilan daripada golongan muda yang kini lebih terbuka untuk membincangkan isu berkaitan bunuh diri dan situasi ini amat merunsingkan,” katanya.

 

Menurut Saras, waktu operasi bagi pusat panggilan adalah dari pukul 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam setiap hari.

 

saras pillay
SARAS Pillay.

 

“(Walau bagaimanapun), ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

 

“Bagi memastikan perkhidmatan dapat diberikan sepanjang masa, Befrienders Penang bercadang untuk melanjutkan waktu operasi ke 3.00 pagi.

 

“(Hal ini kerana), pada waktu malam adalah waktu yang paling sukar untuk ramai orang yang bergelut dengan tekanan emosi dan di sinilah masanya kami perlu ada dengan mereka,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Saras memberitahu bahawa pihaknya kini giat mempromosikan perkhidmatan mereka melalui bengkel, acara komuniti, dan platform media sosial.

 

Peranan sukarelawan adalah tunjang utama pada kejayaan perkhidmatan organisasi seperti Befrienders Penang.

 

“Kami memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat ini,” katanya yang telah berkhidmat selama 37 tahun sebagai advokasi kesihatan mental.

 

Beliau turut menyeru para belia yang berumur 21 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai sukarelawan dan menyumbang pada usaha menyelamatkan nyawa.

 

Dalam pada itu, Pengarah Latihan Befrienders Penang, Damian Lee Wan Tong berkata bahawa sokongan sukarelawan amat penting untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan.

 

“Sukarelawan perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga jam setiap minggu untuk berkhidmat.

 

“Setiap sukarelawan akan menjalani latihan intensif selama lapan minggu, diikuti tempoh percubaan selama 16 minggu di bawah bimbingan mentor yang berpengalaman,” jelas Damian.

 

Tambah Wan Tong lagi, latihan ini adalah bertujuan untuk membangunkan kemahiran mendengar secara aktif, empati dan menangani panggilan kecemasan.

 

Befrienders Penang juga melatih sukarelawan untuk memahami cara memberikan sokongan tanpa menilai.

 

“Kami tidak memberikan nasihat profesional, tetapi kami merujuk pemanggil ke organisasi lain yang relevan seperti pusat perlindungan wanita dan profesional kesihatan mental,” kata mantan Pengerusi Befrienders Penang itu lagi.

 

Bagi yang berminat untuk menjadi sukarelawan Befrienders Penang, boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara mendaftar melalui laman web atau media sosial rasmi mereka.

befrienders 1

befrienders 2

befriender 3

 

 

Oleh: M. DANESWARAN

Gambar: LAW SUUN TING