Beg plastik beras diberi ‘nyawa kedua’ menerusi produk upcycle

Admin
photo 6075609086104899819 y Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan (tiga dari kiri, berbaju merah jambu) bersama Ketua Pemasaran Jasmine Food Corporation (Prai), Kow Ai Nah (dua dari kiri, berbaju merah) menyantuni pelanggan serta orang ramai yang hadir untuk datang membawa beg plastik beras daripada pelbagai jenama untuk ditukar kepada beras Jasmine seberat satu kilogram sempena Majlis Perasmian Program Kitar Semula Beg Plastik Beras di Pasaraya Billion Seberang Jaya.

SEBERANG JAYA – Beg plastik beras yang lazimnya dibuang selepas digunakan mampu dikitar semula dan diubah menjadi pelbagai produk upcycle seperti beg, bunga plastik serta replika hiasan haiwan yang berpotensi menjana pendapatan kepada masyarakat.

Langkah berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah mampu mewujudkan konsep lebih besar menerusi ekonomi kitaran (circular economy) serta menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan berkata, berdasarkan data MBSP, secara purata sebanyak 2,000 tan sisa dihantar ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burong setiap hari.

“Kita semua sedar bahawa isu sisa plastik merupakan antara cabaran alam sekitar yang perlu ditangani secara bersama.

“Setiap hari, pelbagai jenis bahan yang kita gunakan akhirnya menjadi sisa apabila tidak lagi diperlukan, begitu juga dengan beg plastik beras.

“Selepas beras digunakan, beg plastik tersebut lazimnya terus dibuang.

“Namun, melalui program yang kita laksanakan pada hari ini, kita ingin membawa satu mesej yang lebih besar kepada masyarakat, iaitu jangan melihat sisa sebagai sampah semata-mata, tetapi lihatlah ia sebagai sumber yang masih mempunyai nilai.

“Oleh itu, melalui program ini, orang awam digalakkan membawa dan mengumpulkan beg plastik beras yang telah digunakan untuk dikitar semula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Buletin Mutiara selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Kitar Semula Beg Plastik Beras dengan kerjasama Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. di Pasar Raya Billion Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pemasaran Jasmine Food Corporation (Prai), Kow Ai Nah serta wakil Pasar Raya Billion Seberang Jaya.

Mengulas lanjut, Yeh Shiuan memaklumkan bahawa beg plastik beras yang dikumpulkan akan disalurkan kepada komuniti yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menghasilkan produk upcycle, antaranya Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah di Simpang Ampat.

“Bahan tersebut akan diproses dan diberi nilai tambah dengan mengubahnya menjadi pelbagai produk upcycle yang bermanfaat, praktikal dan mesra alam.

“Ini bermakna, beg plastik beras yang pada asalnya dianggap sebagai bahan buangan akan diberikan kehidupan kedua dan boleh menjadi produk baharu.

“Malah, ia boleh dimanfaatkan serta digunakan semula dalam bentuk yang mempunyai nilai,” jelasnya.

Terdahulu, Yeh Shiuan sempat meninjau dan beramah mesra dengan pelanggan pasar raya berkenaan serta orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan Seberang Jaya yang hadir membawa beg plastik beras daripada pelbagai jenama untuk ditukar dengan beras Jasmine seberat satu kilogram sebagai insentif penyertaan di pintu masuk pasar raya berkenaan.

Namun begitu, bagi memastikan pengagihan insentif dilaksanakan secara adil dan memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menyertai program ini, penebusan dihadkan kepada seorang bagi satu pek beras Jasmine seberat satu kilogram sahaja.

Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN