Bekalan air capai 83 peratus, persiapan rapi bantu pulih cepat

Admin
fa483a99 2c29 403c 8040 0c5067763b32

GEORGE TOWN – Setakat jam 6 petang tadi, 83 peratus kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual telah berjaya dipulihkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tiga daerah juga sudah mendapat sambungan bekalan pada kadar 100 peratus.

“Tiga daerah yang sudah pulih 100 peratus adalah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Daerah Timur Laut (DTL).

“Saya difahamkan Seberang Perai Selatan (SPS) pun telah mendapat bekalan air lebih daripada 90 peratus dan akan pulih dalam masa terdekat.

“Sekarang tumpuan di Daerah Barat Daya (DBD), saya percaya dalam beberapa jam lagi ia boleh capai peratusan pemulihan yang tinggi,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Hari Raya Aidilfitti 2025 Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan Persatuan Muslim Pulau Pinang dekat Jalan Masjid Kapitan Keling di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi percaya bahawa pengalaman sebelum ini menjadikan proses pemulihan bekalan air kali ini lebih lancar.

“Persiapan kali ini lebih rapi dengan mengambil kira isu-isu teknikal juga, semua paras reservoir dikekalkan pada paras tertentu.

“Semasa gangguan pun kita tidak gunakan air reservoir, jadi apabila bekalan sampai, reservoir dapat menyalurkan air dengan cepat.

“Pengalaman lalu kita guna semua air reservoir, untuk tunggu air penuh sebelum air dilepaskan perlu menunggu beberapa jam, belajar daripada pengalaman lalu dan kita dapat tingkatkan sistem penyampaian,” ulasnya lanjut.

Beliau dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Pulau Pinang atas kesabaran menanti projek yang wajib dilakukan demi menambah baik perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

90d50299 b4b2 459d 9b76 881547b4bea9

Pada majlis tersebut, Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor hadir sebagai tetamu kehormat.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; barisan Exco, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; tuan rumah, Presiden Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang, Dato Seri Najmudeen Kader dan kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

292236f9 e813 415e b579 43722a3706a4

Sementara itu, selaku ADUN Padang Kota, Kon Yeow sempat merakamkan ucapan penghargaan kepada Liga Muslim Pulau Pinang atas sumbangan dan peranan yang telah dicurahkan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negeri.

“Sesungguhnya, pentadbiran saya sangat menghargai peranan serta sumbangan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Liga Muslim dalam membantu Kerajaan Negeri dalam agenda pembangunan negeri yang menjadi inspirasi negara.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR