Bekalan air ke kawasan EoL kian pulih, responden puji kecekapan PBAPP laksana SWSI kali ini

1039557d 13dd 4c34 9578 e8062606e9e0 KELIHATAN dua kontraktor terlatih sedang menyiapkan kerja-kerja penyambungan akhir paip tang begitu mencabar di tapak projek penaiktarafan infrastruktur air PBAPP di Ampang Jajar pada pagi tadi.

KERJA-KERJA penaiktarafan 23 projek infrastruktur air negeri siap sepenuhnya pada 1.48 petang tadi, maka proses pemulihan air secara berperingkat dapat dilaksanakan seperti yang dirancang oleh syarikat operator air, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB berkesempatan membuat tinjauan lapangan di beberapa kawasan hujung paip agihan (EoL) dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas dek gangguan bekalan air berjadual (SWSI) sejak 25 April 2025 lepas.

3cd1a565 64ba 4e53 87ba 01a22eb42a75
MOHD. Norhiesam Ismail

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Tasek, Mohd. Norhiesam Ismail memberitahu bahawa Kampung Tasek Cempedak dekat Simpang Ampat merupakan antara kawasan EoL yang terjejas teruk apabila PBAPP melaksanakan SWSI sebelum ini.

Namun, menurutnya, proses pemulihan pada kali ini berlaku lebih awal daripada jangkaan penduduk lokal.

“Kampung Tasek Cempedak ini antara paling lambat (terima) bekalan air pulih apabila PBAPP melaksanakan SWSI.

“Tetapi, sejak semalam didapati bekalan air telah ada… perlahan, mungkin kerana proses perbekalan air telah berlaku pada kapasiti sederhana.

“Macam di rumah saya sendiri, sejak pagi tadi, bekalan air telah kembali seperti biasa, terima kasih kepada PBAPP kerana cekap dalam operasi pemulihan air pada kali ini,” jelasnya ketika ditemui pada 27 April 2025.

img 7767
AHMAD Razaaim Azimi

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi memberitahu bahawa sejak petang semalam lagi bekalan air tidak ‘terputus terus’ di kawasan EoL sekitar kawasan Parlimen Balik Pulau.

“Sejak SWSI dilaksanakan pada Jumaat lalu, bekalan air tetap ada dan ‘perlahan’.

“Petang tadi, bekalan air di kawasan perumahan berstrata Taman Desa Genting dekat Pulau Betong dan beberapa kawasan EoL lain kian pulih lebih cepat, mungkin kerana bekalan air sebelum ini tidak ‘putus terus’ sepanjang tempoh SWSI,” responsnya yang turut merakamkan penghargaan atas kecekapan PBAPP melaksanakan projek penaiktarafan infrastruktur air pada kali ini.

887e9622 8820 4a7f 895b 2567bf078a0e
YUSFIZAL Mat Yusoff

Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang guru, Yusfizal Mat Yusoff, yang menghuni di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pasir.

“Sejak Jumaat lepas, bekalan air tidak putus terus, bekalan air perlahan sahaja, jadi kami serumah masih boleh akses air dari paip rumah.

“Awal pagi tadi, saya rasa proses pemulihan air di rumah saya kembali seperti biasa,” jelasnya lagi.

Pada awal pagi tadi, jurugambar Buletin Mutiara, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR juga berkesempatan merakamkan beberapa keping gambar berkaitan kerja-kerja penyambungan akhir paip utama dekat Ampang Jajar, Permatang Pauh.

7032a662 624b 4b95 9a02 73cd363ac64d
PENYAMBUNGAN akhir paip utama dekat Ampang Jajar pada awal pagi tadi antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.
4ccc2daf 29e8 426f b5bb 4fea8bb5ead9
LANGKAH kontigensi mengeluarkan limpahan air di tapak kerja-kerja  penyambungan akhir paip PBAPP di sini pada malam tadi turut mendapat sokongan teknikal dan aset jentera pam daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
img 7793
KETUA Menteri dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan serta beberapa pegawai syarikat operator air negeri merakamkan gambar kenangan, seusai operasi meninjau kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur air negeri di Kampung Teluk pada tengah hari tadi.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam satu kenyataan media berkata, PBAPP sedang melaksanakan ujian membebaskan angin yang terperangkap dalam paip, apabila kerja-kerja penaiktarafan 23 projek berkaitan siap sepenuhnya pada 1.48 petang.

Manakala sehari sebelum itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa hanya tinggal tiga projek major perlu disiapkan dalam tempoh berbaki empat jam, sebelum jam 6.00 petang.

 

END