Bekalan minyak masak & tepung gandum cukup – Malik

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menasihati pengguna agar tidak panik rentetan laporan kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Abdul Malik, pengguna tidak perlu bimbang dan panik kerana bekalan bagi kedua-dua komoditi kawalan tersebut cukup untuk menampung keperluan harian pengguna sehingga bulan Syawal nanti.

“Stok sedia ada bagi minyak masak dan tepung gandum adalah mencukupi dan tiada isu atau sebarang aduan yang melibatkan berlakunya kekurangan bekalan.

“Pengguna juga diminta jangan mudah terpengaruh dengan khabar angin berkenaan dan tidak perlu membeli bekalan lebih daripada biasa yang akhirnya akan menyebabkan kekurangan bekalan akibat tindakan melulu,” ujarnya dalam sidang media di sini.

Terdahulu, Abdul Malik mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang (PPDNKKPP), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), wakil rangkaian Pasific Hypermarket, Gama Supermarket, Pasar Raya AEON Queensbay, Seberang Flour Mills Sdn. Bhd., FFM Marketing Sdn. Bhd., Johor Bahru Flour Mills Sdn. Bhd. dan Kean Seng Trading Co.

Hasil daripada pertemuan tersebut, beliau berharap untuk mendapatkan komitmen daripada pihak berwajib supaya krisis tepung gandum dan minyak masak diatasi dengan kadar segera dan sewajarnya.

Abdul Malik memberitahu, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan melalui 40  pasukan Pemantau Pengguna Negeri berhubung isu berkenaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak yang cuba menyembunyikan bekalan atau melakukan perkara-perkara menyalahi undang-undang.