Bekas pegawai tinggi PPC dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000, kata peguam

Admin

 

GEORGE TOWN – Bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) yang ditahan selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

R.S.N. Rayer memberitahu bahawa anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 serta diminta hadir untuk membantu siasatan SPRM tiap-tiap bulan.

“Beliau telahpun dibebaskan kira-kira jam 1 tengah hari tadi,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong ketika dihubungi petang tadi (4 Julai 2020).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama beberapa Exco Kerajaan Negeri turut hadir memberi sokongan moral kepada bekas pegawai tinggi PPC berkaitan.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Majistret George Town mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap bekas pegawai tinggi PPC tersebut, sungguhpun pihak pendakwaan iaitu SPRM memohon perintah reman selama tujuh hari.

Menurut Rayer, Majistret Puan Nur Fadrina Zulkhairi membuat ketetapan itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak.

Ketika itu, Rayer menyatakan bahawa bekas pegawai tinggi PPC berkaitan akan diwakili oleh beliau dan dua peguam lain iaitu Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) dan Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong, Selangor).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB