Bekas pegawai tinggi PPC direman empat hari, kata peguambela

Admin
R.S.N. Rayer dalam sidang media di sini tadi.

BAYAN LEPAS – Mahkamah Majistret George Town petang tadi mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut.

Peguambela, R.S.N. Rayer memberitahu bahawa Majistret Puan Nur Fadrina Zulkhairi membuat ketetapan itu selepas mendengar penghujahan pihaknya dan pihak pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak SPRM telah mohon tahanan reman selama tujuh hari, (tapi) kami (pihak pembelaan) telah membantah.

“Dan, setelah mendengar hujahan, majistret telah bersetuju reman selama empat hari iaitu hingga hari Sabtu.

“Saya tidak boleh memberi maklumat lain, cuma ia berkenaan suatu penyiasatan pihak SPRM yang mana, difahamkan, laporan itu dibuat baru-baru ini.

“Maka, butir-butir lanjut saya tidak ingin mengulas,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong kepada pemberita di sini pada 1 Julai 2020.

Rayer menyatakan bahawa bekas pegawai tinggi PPC berkaitan akan diwakili oleh beliau dan dua peguam lain iaitu Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) dan Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong, Selangor).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS