Belanja pembangunan negeri seimbang sejak 2008, 77% di Seberang Perai

Admin

GEORGE TOWN – Belanja Pembangunan Kerajaan Negeri lebih seimbang sejak tahun 2008, berbanding era sebelumnya yang lebih menumpu pada bahagian pulau sahaja.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, belanja pembangunan di Pulau Pinang sejak 2008 hingga 2016 adalah berjumlah RM3,077,152,950.39.

“RM2,379,145,953.56 belanja pembangunan negeri di bahagian Seberang Perai keseluruhannya menyamai 77 peratus, dan keseluruhannya RM698,006,996.83 belanja pembangunan negeri di bahagian pulau menyamai 23 peratus,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Mengikut pecahan, menurut Guan Eng, belanja pembangunan negeri melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk bahagian Seberang Perai berjumlah RM182,045,529.59 menyamai 60 peratus; manakala baki 40 peratus lagi belanja pembangunan negeri di bahagian pulau (RM123,624,580.41).

Jelas beliau, belanja pembangunan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di bahagian Seberang Perai adalah 64 peratus atau RM311,000,000; manakala baki 36 peratus atau RM173,000,000 di bahagian pulau.

Tambah Guan Eng, belanja pembangunan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di bahagian Seberang Perai adalah 82 peratus atau RM1,886,100,423.97; manakala baki 18 peratus atau RM401,382,416.42 di bahagian pulau.