Belanjawan 2026: Pulau Pinang sasar 60 pingat emas di Sukma 2026

Admin
img 20251114 wa0110

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyasarkan 60 pingat emas dalam temasya sukan dwitahunan, Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) kini sedang melaksanakan persiapan rapi melibatkan 37 acara.

“Atlet-atlet kita sedang berusaha gigih, dan kita sentiasa komited untuk menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk mencapai sasaran pingat yang ditetapkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM350,000 kepada Jawatankuasa MMK Sukan pada tahun 2026.

“Sebagai tambahan, sejumlah RM7 juta diperuntukkan kepada MSNPP bagi melaksanakan program-program sukan negeri, dan sejumlah RM7 juta kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang bagi menyokong pembangunan program dan fasiliti sukan di negeri ini.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menyatakan sokongan berterusan kepada pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Justeru, Kerajaan Negeri juga meneruskan penyaluran geran mengurus sebanyak RM8 juta kepada Penang Football Club (Penang FC) sebagai sokongan kepada pembangunan bola sepak negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan ekonomi, Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri memfokuskan kepada empat strategik utama untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Empat strategik utama adalah melibatkan memajukan tahap kesediaan industri pembuatan tempatan untuk era digital dan ekonomi hijau, memodenkan dan mempelbagaikan pertanian lestari, mewujudkan pelbagai produk pelancongan yang berkualiti, dan membina ekosistem yang menyuburkan industri kreatif dan perkhidmatan peniagaan khusus.

“Semua inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan agenda yang menggabungkan pembangunan sukan, budaya dan ekonomi demi kesejahteraan penduduk negeri ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD