GEORGE TOWN – Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail memuji komitmen para pemainnya menentang JDT FC walaupun terpaksa beraksi 10 orang baki 45 minit.
Jelasnya, komitmen yang ditunjukkan kekal sehingga tamat perlawanan dan perkara itu yang sering ditekankan beliau sebelum perlawanan.
Pada perlawanan Suku Akhir Piala FA (pusingan pertama), Penang FC bermain baik sebelum terpaksa akur kehebatan JDT FC dan tumpas 1-2.
“Pertama sekali pujian harus diberikan kepada barisan pemain saya, bukan senang untuk beraksi 10 orang menentang pasukan besar seperti JDT FC ini, tetapi mereka berjaya bermain dengan baik.
“Penang FC membuktikan bahawa kita ada kualiti, kita berada pada landasan tepat, pemain mula serasi dan berjaya melaksanakan apa yang saya praktikkan dalam latihan.
“Berkenaan kad merah, saya faham perkara ‘split second’ seperti ini sukar untuk diterima, ia adalah tindakan ‘reflect’ beliau (Ahmad Irfan) selepas kehilangan bola,” ujarnya dalam satu sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Bandaraya sebentar tadi.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen turut hadir memberikan semangat kepada Penang FC.
Gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan oleh Adib Ra’op pada minit ke 35 manakala gol JDT FC dihasilkan oleh Oscar Aribbas dan Ager Aketxe.
Perlawanan timbal balik Suku Akhir Piala FA akan berlangsung pada 28 Oktober ini di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Wan Rohaimi dalam pada itu menyeru penyokong-penyokong skuad Harimau Kumbang untuk kembali ke Stadium Bandaraya pada perlawanan akan datang sebagai pemain ke 12.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : PENANG FC