BEST ketiga dari Kiosk Bertam

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Hasil maklum balas positif berhubung dua pengimplementasian perkhidmatan bas percuma inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, pihak berkenaan baru-baru ini memperkenalkan laluan khidmat terbaru dari Kiosk Bertam, Seberang Perai Utara (SPU) ke Komtar di sini.

Perkhidmatan tersebut adalah tambahan  kepada laluan sedia ada iaitu Bridge Express Shuttle Transit (BEST) FTZ yang beroperasi sejak Mac 2011 di Zon Perindustrian Bayan Lepas membabitkan 17 bas sehari dengan kos RM154,800 dan BEST Komtar (Pusat membeli-belah Sunway Carnival Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, SPT ke Komtar) membabitkan kos, RM18,000 dengan operasi dua buah bas sejak 3 Disember 2012.

Ketiga-tiga perkhidmatan tersebut diwujudkan bagi kepentingan pekerja dan kakitangan awam yang menetap di Seberang Perai. Malah, ia juga sebagai salah satu inisiatif mengurangkan kesesakan di bahagian pulau negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, bagi menjayakan projek BEST terbaru terbabit, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM 11,000 setiap bulan membabitkan sebuah bas.

“Ini adalah hasil permintaan menggalakkan daripada penjawat-penjawat awam di Komtar yang menggunakan dua perkhidmatan diperkenalkan sebelum ini.

“Hasil kajian rambang oleh Unit Pengurusan Lalulintas, Bahagian Kerajaan Tempatan, semua pengguna BEST amat berpuas hati dengan perkhidmatan kini dan amat berharap ianya akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain,” katanya ketika menyambut ketibaan bas pertama BEST Kiosk Bertam ke Komtar di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Guan Eng memberitahu, antara kawasan lain yang turut menerima permintaan perkhidmatan BEST adalah Jawi, Kulim/Penanti, Juru, Air Itam, Balik Pulau dan Bayan Lepas.

“Malah, terdapat juga permintaan agar  ianya (perkhidmatan BEST) dibuka kepada golongan profesional dan pengurusan yang mana perkhidmatan kini hanyalah tertumpu kepada kumpulan sokongan,’’ ujar beliau.