PBAPP sedia hadapi cuaca kering, pengguna diseru jimat air

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF 

GEORGE TOWN – Daripada maklumat dibekalkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan kepada rakyat negeri ini bahawa pihak berkenaan bersedia menghadapi cuaca kering di sini.

Pengerusi PBAPP yang juga Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, setiap tahun pada awal Januari, PBAPP akan pastikan paras air empangan berada pada tahap maksimum.

“Malah, ini bukan fenomena luar biasa kerana ia adalah jangkaan dan kejadian tahunan bahawa cuaca kering berlarutan hingga April iaitu apabila musim antara monsun bermula,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbarnya baru-baru ini di sini.

Beliau memberitahu, tahap air Empangan Air Itam adalah berada pada kapasiti 71 peratus dan mencukupi untuk tempoh 70 hari bekalan, Empangan Mengkuang (kapasiti 50.5 peratus, 84 hari) dan Empangan Teluk Bahang (kapasiti 91 peratus, 277 hari).

“Daripada tiga empangan tersebut, Empangan Air Itam mencatatkan penurunan paras air paling cepat dan PBAPP sedaya-upaya melakukan semua yang boleh bagi mengekalkan kapasiti simpanan air untuk bertahan selama 90 hari lagi dengan membawa masuk lebih banyak air dari Seberang Perai.

“Bagaimanapun, para pengguna dinasihatkan agar tidak membazir air untuk membasuh kereta, aktiviti menanam dan menyembur laman rumah.

“Sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan dalam tempoh 30 hari, paras Empangan Air Itam akan capai kapasiti 40 peratus yang mana hanya mampu menampung kegunaan untuk tempoh 43 hari sahaja.

“Jika peringkat kritikal ini berlaku, PBAPP terpaksa mengenakan catuan air di Pulau Pinang untuk menampung keperluan harian asas pengguna,” jelas beliau.

Dalam pada itu, bagi mengelakkan pembaziran air, PBAPP telah mengenakan Pemuliharaan Surcaj Air (WCS) untuk menghukum pengguna yang membazir air.

“Pulau Pinang merekodkan penggunaan air paling tinggi dalam negara bagi tahun 2013 dengan 299 liter per orang per hari berbanding penggunaan purata negara, 215,’’ kata Guan Eng.