BAGAN JERMAL – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berharap peruntukan tahunan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang disalurkan untuk penyelenggaraan jalan-jalan negeri di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak lagi dikurangkan pada tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peruntukan MARRIS kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan yang direkodkan menerima RM131 juta pada tahun lepas berbanding RM91 juta pada tahun 2025, iaitu pengurangan kira-kira RM40 juta.
“Kita akan semak berapa peruntukan MARRIS yang Kementerian Kewangan (MoF) salurkan kepada Kerajaan Negeri untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri di bahagian Seberang Perai dan pulau.
“Kalau boleh, kita minta kekalkan peruntukan tahunan di bawah MARRIS kerana Seberang Perai merupakan kawasan yang sangat luas, jadi jangan kurangkan peruntukan itu.
“Kalau nak buat apa-apa perubahan, peruntukan tahunan di bawah MARRIS sepatutnya dinaikkan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada sidang media di Jalan Raja Uda di sini, pada 5 Oktober 2025.

Difahamkan, MoF menyalurkan peruntukan MARRIS setiap tahun kepada negeri termasuk Pulau Pinang berdasarkan perundangan utama negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan antara lain menjelaskan keperluan menyediakan peruntukan bagi pemberian kepada negeri-negeri untuk maksud tertentu, termasuk bantuan penyelenggaraan jalan negeri.
Merujuk Bahagian II Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan pula, jumlah peruntukan itu dikira berdasarkan pemberian jalan negeri dengan mengambil kira kos purata penyelenggaraan serta panjang jalan negeri.
Dalam konteks MBSP, agihan peruntukan MARRIS yang diterima daripada Pegawai Kewangan Negeri dimanfaatkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri dan jalan kampung serta rizab jalan yang berdaftar di ketiga-tiga daerah Seberang Perai.
Peruntukan MARRIS kepada MBSP turut digunakan untuk kerja-kerja landskap jalan raya negeri serta kontrak pembersihan awam (KPA).

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen, akan membangkitkan persoalan tersebut pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 nanti.
“Encik Mohd. Shukri Said (Pengarah Kejuruteraan MBSP) memaklumkan bahawa pengurangan peruntukan MARRIS sebanyak RM40 juta kepada MBSP telah berlaku, namun jumlah keseluruhan peruntukan untuk seluruh negeri masih belum dipastikan.
“Saya percaya YB Chee Yeeh Keen akan membangkitkan isu ini dalam sidang DUN.

“Sekiranya pengurangan peruntukan MARRIS ini dibuat oleh pihak MoF untuk seluruh negeri Pulau Pinang, kita akan membuat rayuan kepada kementerian berkenaan.
“Kalau boleh, kekalkan peruntukan tahunan di bawah MARRIS sebagaimana tahun lepas yang berjumlah RM131 juta,” jelasnya yang juga mantan Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri.
Sehubungan itu, beliau berkata, ADUN Bagan Jermal akan turut membangkitkan isu berkaitan jumlah sebenar peruntukan di bawah MARRIS bagi tahun 2024 dan 2025 yang telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang Ke-15 nanti.
Sebelum itu, Guan Eng bersama Yeeh Keen dan Mohd. Shukri meninjau projek penurapan jalan berhampiran Jalan Raja Uda, yang menelan belanja sebanyak RM160,000.
Mohd. Shukri memaklumkan bahawa projek penurapan jalan itu dilaksanakan pada 15 Mei 2025 dan siap pada 26 Jun 2025 menggunakan peruntukan MARRIS yang diterima MBSP.

Sementara itu, Ahli Majlis MBSP, Ng Yee Siang, berkata, luas kawasan jalan negeri yang diturap dianggarkan 6,500 meter persegi.
Bercakap kepada pemberita, Yeeh Keen merakamkan penghargaan kepada Yee Siang kerana memperjuangkan projek penyelenggaraan jalan berkenaan dalam Mesyuarat Penuh Majlis (MPM) MBSP sebelum ini.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB