Bina taman poket dan naik taraf gelanggang pelbagai guna Lebuh Kampung Benggali tepati konsep 4Ps

Admin

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru – baru ini merasmikan projek taman poket serta menyempurnakan majlis pecah tanah untuk menaik taraf gelanggang pelbagai guna dekat Lebuh Kampung Benggali, Butterworth di sini.

Guan Eng berkata, projek berkenaan adalah salah satu pengisian program di bawah Pelan Butterworth Baharu melalui pendekatan kreatif yang menepati konsep kerjasama 4Ps iaitu Public, Private, People d a n Professional.

Malah katanya, projek yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) itu dilaksanakan selepas mengambil kira pandangan masyarakat setempat.

“Daripada 2,400 responden yang ditemui, seramai 2,215 bersetuju untuk menaik taraf gelanggang ini.

“Projek ini dibina untuk memastikan masyarakat di sini mempunyai kemudahan awam dan sosial untuk melaksanakan pelbagai aktiviti luaran,” ucapnya pada majlis perasmian projek berkenaan.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Yang diPertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan serta Ahli-ahli Majlis MPSP.

Menurut Guan Eng, projek menaik taraf taman poket berkeluasan 1,095 kaki persegi itu menelan kos keseluruhan berjumlah RM300,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh ThinkCity.

“Manakala untuk kerja menaik taraf gelanggang pelbagai guna sebanyak RM450,000 pula akan dibiayai oleh MPSP bersama-sama ThinkCity membabitkan keluasan 1,466 kaki persegi,” jelasnya.

Sebagai rekod, projek taman poket telah siap dibina pada November 2017, manakala projek menaik taraf gelanggang pelbagai guna Lebuh Kampung Benggali pula dijangka akan bermula pada April 2018.