Tingkat fungsi masjid selaras konsep Islam rahmat kepada sekalian alam – Exco

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

MACHANG BUBOK – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berjanji akan menaik taraf tandas Masjid Jamek Alma Jaya (MASJAYA) dalam tahun ini juga.

Ini berikutan nisbah tandas di masjid tersebut amatlah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah jemaah yang ramai pada satu-satu masa.

“InsyaAllah dalam tahun ini juga kita (Kerajaan Negeri) akan menaik taraf dengan menambah bilangan tandas di masjid ini demi kemudahan dan keselesaan para jemaah di kawasan Alma yang merangkumi 27 buah taman.

“Selain itu kita boleh juga mempertimbangkan untuk menaik taraf dewan masjid kepada tiga tingkat yang berfungsi sebagai dewan, serta Kelas Asas Fardu Ain (K A FA),” ucapnya ketika merasmikan Karnival Masjid Terbuka, Klinik Celik Undang-undang Keluarga Islam & Forum Ulama Lawan Rasuah di sini barubaru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon. Abdul Malik dalam pada itu turut menekankan fungsi institusi masjid dalam komuniti tidak kira kepada Islam dan bukan Islam selaras dengan konsep Islam Rahmat Kepada Sekalian Alam.

“Kita nak fungsi masjid diangkat tinggi setanding masjid-masjid besar kerana Islam ini merangkumi semua termasuk non Muslim, tumbuhan, haiwan serta sekalian makhluk.

“Jadi amatlah penting kepada kita sebagai umat Islam mencerminkan keindahan Islam untuk diteladani dan menangkis persepsi buruk tentangnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Khai Loon ketika berucap turut memuji usaha yang digerakkan Islamic Propagation Society International (IPSI) bersama Karih MAS JAYA dalam mengamalkan suasana terbuka institusi masjid kepada masyarakat.

Pada program tersebut beberapa aktiviti diadakan seperti seminar dan bicara berhubung undang-undang syariah, fungsi ulama dalam melawan rasuah, pameran gerai-gerai dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, kenduri rakyat dan pelbagai aktiviti yang diadakan dari pagi hingga 10 malam.