Boulder Valley Glamping hotel inovatif pertama peroleh gred tiga bintang daripada MOTAC

TELUK BAHANG – Boulder Valley Glamping & Event Place (Boulder Valley Glamping) di Teluk Bahang menjadi lokasi glamping pertama di Malaysia memperolehi sijil penggredan tiga bintang oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

 

 

Menurut Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MOTAC, Roslan Mohammad, penganugerahan tersebut adalah bagi kategori hotel inovatif.

 

 

“Kita (MOTAC) mahu galakkan lebih banyak lagi pihak hotel inovatif tampil untuk mendapatkan penggredan agar pelbagai manfaat dan insentif.

 

 

“Penilaian yang dilaksanakan oleh MOTAC memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan kepada pelancong.

 

 

“Selain itu, aspek-aspek tambahan lain turut diutamakan yang mana secara keseluruhannya terdapat 12 aspek kriteria yang dinilai seperti reka bentuk, bahan binaan dan tertakluk kepada kawasan glamping tersebut,” ujar Roslan ketika menyampaikan Sijil Penggredan kepada Boulder Valley Glamping, di sini semalam.

 

Mengulas lanjut, Roslan memberitahun penggredan melalui MOTAC adalah lebih bernilai kepada pemilik hotel inovatif dan tidak sama dengan penilaian melalui aplikasi tempahan di internet.

Hadir sama, Pengarah MOTAC Pulau Pinang, Jonathan Freddy P. Bagang dan Pengurus Besar Boulder Valley Glamping, P. Nagaswaran.

 

 

Difahamkan setakat tahun lalu dua hotel inovatif berupa glamping di Malaysia telah memohon sijil penggredan tersebut.

 

 

“Namun antara syarat utama adalah tapak glamping tersebut mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat.

 

“MOTAC juga belum nempunyai data lengkap kewujudan glamping di seluruh Malaysia dan saya percaya sedikit masa lagi data tersebut boleh didapati kerana kita pun sudah galakkan pemilik-pemilik untuk tubuhkan persatuan,” jelas beliau lagi.

 

 

Bercakap kepada pemberita Nagaswaran yakin dengan penggredan tersebut, pihaknya optimis untuk mencapai empat bintang pada masa akan datang.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : SIEW CHIA EN