Kumpul botol plastik bantu jayakan projek landskap watak animasi

Admin
AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mengajak orang ramai khususnya di kawasan terbabit untuk membantu pihaknya mengumpul kira-kira 5,000 botol minuman plastik.
Katanya, pengumpulan tersebut adalah bertujuan menjayakan projek landskap berkonsepkan kitar semula dengan bertemakan watak animas Pokemon Go.
“Projek ini bersifat serampang dua mata, sambil kitar dan guna semula, ia juga mampu mewujudkan satu landskap baharu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam menggunakan bahan terbuang berupa botol plasktik 500 mililiter (ml) dan bekas plastik seperti besen.
“Pada tahun 2023 pengindahan landskap memang menjadi sasaran Pusat Khidmat KADUN Air Itam selaras dengan visi Penang2030 untuk menjadi negeri hijau.
“Sebenarnya kita sudah mulakan sejak pertengahan November lalu dan setakat ini kira-kira 1,000 botol telah berjaya dikumpul tetapi kita memerlukan tambahan 4,000 botal lagi,” ujar beliau pada sidang media pengumpulan botol terbuang bagi menyiapkan landskap Pokemon Go dekat Desa Mawar di sini pagi tadi.
Hadir sama, Eksekutif Program Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Tan Mun Chee; Timbalan Pengetua Kolej SENTRAL, Tan Peng Hooi dan wakil penaja Top Group, Koh Shu Juan.
Difahamkan, Top Group akan membiayai dana landskap tersebut dengan anggaran RM3,500.
Soon Siang membayangkan bahawa landskap arca watak animasi itu akan diletakkan di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling memandangkan kawasan tersebut adalah laluan pelancong ke tempat-tempat menarik di Air Itam.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN