Bukan sekadar pertandingan, debat melahirkan pemimpin masa depan – Ketua Menteri

Admin
5166f0f3 5ce9 43b4 9ada 682af286309b KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian penutup pusingan awal Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di The Tamarra by Irama Dining, George Town pada 10 September 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap inisiatif Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 dapat membentuk Generasi MADANI yang mampu berfikiran kritis, berkomunikasi secara berkesan, saling menghormati perbezaan pendapat serta berani menyuarakan kebenaran dengan penuh adab.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya bangga kerana Pulau Pinang diberi kepercayaan menjadi tuan rumah penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan yang berprestij tersebut.

81899561 21ed 412d 839c 385a63238b83
KETUA Menteri (tengah) menyampaikan sijil penyertaan dan piala kepada seorang pendebat terbaik bagi pusingan awal Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di sini tadi.

“Saya yakin, pengalaman yang anda peroleh sepanjang pertandingan ini akan menjadi bekalan berharga untuk memimpin masyarakat dan negara kelak.

“Tidak kira sama ada bergelar johan atau tidak, anda semua adalah juara sebenar kerana telah membuktikan keberanian, ketekunan serta semangat intelektual yang tinggi,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup pertandingan berkenaan di sini sebentar tadi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, penyertaan 16 pasukan negeri dan Wilayah Persekutuan dalam pertandingan debat di Pulau Pinang adalah suatu penghormatan besar bagi Pihak Berkuasa Negeri dan rakyat jelata.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini komited memperluas akses pada pendidikan berkualiti, memperkukuh inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); memperkasa penyelidikan serta inovasi, di samping memastikan setiap anak muda berpeluang mengembangkan potensi diri.

Tidak setakat itu sahaja, Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang kini terkenal sertai dianggap sebagai Lembah Silikon Timur dengan kekuatan industri, pusat pelancongan bertaraf dunia serta warisan budaya yang diiktiraf UNESCO.

“Namun, di sebalik semua ini, negeri ini menumpukan perhatian kepada usaha melahirkan bakat baharu melalui ekosistem pendidikan yang kukuh daripada pendidikan rendah serta menengah, hinggalah ke pengaiian tinggi dan penyelidikan,” ujarnya.

93338497 76f5 47da 926b 088a4c3ab1c9
KETUA Menteri (berdiri, tengah) bersama-sama barisan pemimpin penganjur lain turut merakamkan gambar dengan para peserta Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025.

Turut berucap, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohammad Said Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Azlan Amran.

Aydin Sufi Shaiful dari Negeri Selangor, Muhammad Ilyas Noraizam (Melaka), Muhammad Amer Lutfi Mahran (Johor), Damia Qalesya Ahmad Afizul Haq (Kedah), Siti Nabilah Syakirah Ahmad Ikkrom (Kedah), Alia Shahidan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Syarifah Syazwani Syed Abdul Hamid (Kelantan), Anis Malaeka Husni (Sabah), Muhammad Arshad Mohd. Redzuan (Terengganu) dan Muhammad Adam Irzaq Mohd Fatimie Irzaq (Perak) merupakan 10 pembahas terbaik sempena berlangsungnya pusingan awal Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Pusingan akhir pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya nanti akan menyaksikan saingan antara kumpulan pendebat dari negeri Selangor dan Sabah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT