Bukit Cherok To’kun berpotensi jadi lokasi pelancongan baru negeri

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT MERTAJAM – Bukit Cherok To’kun di sini berpotensi menjadi daya tarikan baru pelancong ke Pulau Pinang selain aktiviti melawat Tapak Warisan UNESCO di George Town.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng ekoran penganjuran acara sukan lasak, Ultramarathon Epic Valley Malaysia Eco 100 yang disertai 400 peserta dari dalam dan luar negara di sini baru-baru ini.

“Bukit Cherok To’kun akan menjadi satu laluan yang sangat indah dan sangat menarik untuk peserta yang datang melawat Malaysia buat kali pertama.

“Ini adalah ekoran sifat fizikalnya yang mencabar dan sesuai dengan penganjuran sukan sebegini. Malah, apa yang lebih membanggakan adalah lokasi ini menjadi pilihan penganjuran acara Ultramarathon Epic Valley Malaysia Eco 100 yang pertama kali diadakan di Semenanjung negara,’’ ucapnya sebelum melepaskan para peserta acara berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Epic Valley Holdings Sdn. Bhd., Ng Seow Kong, merangkap penganjur program berkaitan.

Dianggarkan, 70 peratus hingga 80 peratus laluan Ultramarathon Epic Valley Malaysia Eco 100 yang dilangsungkan dalam tempoh dua hari adalah melalui kawasan-kawasan seperti kelapa sawit, kebun getah, ladang nanas, kampung-kampung, kampung baru, sawah padi dan Bukit Cherok To’kun.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah 100 kilometer (km), 50km dan 13km.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);