GEORGE TOWN – Sesi jelajah ke tujuh lokasi khas yang menempatkan enklaf Kadayanalur Tenkasi memperlihatkan perkembangan serta pembangunan positif hasil daripada penghijrahan etnik berkaitan antara 200 hingga 300 tahun lalu yang seterusnya turut menyumbang kepada pembangunan negara serta negeri ini.
Antara lokasi-lokasi tersebut adalah Persatuan Hidayatul Islam, Persatuan Nurul Islam, Persatuan Muslim Kadayanalur, Anjuman Himayatul Islam, Persatuan Muslim Bersatu, Masjid Prangin dan Alam Indah Banquet Hall (Mamerthe Kadai).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setelah menetap di Pulau Pinang lebih 300 tahun, etnik Kadayanallur Tenkasi yang berasal dari India telah mencapai banyak kejayaan termasuk dalam bidang profesional, yang secara tidak langsung juga banyak memberi sumbangan kepada negeri Pulau Pinang dan negara.

“Hari ini adalah hari yang bersejarah kerana kita dapat menjejak tinggalan nenek moyang etnik Kadayanallur Tenkasi, dan melihat bagaimana komuniti ini berkembang daripada permulaan yang begitu susah, hasil daripada usaha, akhirnya dapat menyaksikan ramai daripada mereka telah menyumbang kepada pembangunan negeri Pulau Pinang serta Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Enklaf Entik Kadayanalur Tenkasi, dekat Alam Indah Banquet Hall di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; barisan Presiden Central Muslim Society (CMS); Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Shaik Abdullah Hassan Mydin dan Pengerusi Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang; Dato’ Seri Najmudeen Kader.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut menyentuh mengenai permohonan pimpinan CMS untuk menamakan sebuah jalan bersempena etnik Kadayanalur Tenkasi.
“Saya telah minta Datuk Bandar (MBPP) untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengangkat Cadangan berkaitan untuk pertimbangan jawatankuasa berkaitan,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD