Cari tapak baru tempat semula gelandangan terpilih – Exco

Admin

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri giat mencari suatu tapak baharu untuk penempatan semula golongan terpilih yang bergelandangan di sekitar bandar raya George Town.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pendidikan Kesedaran Pencegahan Pengemisan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang (JKMNPP), Said Siduk, wakil Ketua Polis Negeri, Supritendan Anuar Omar serta pegawai-pegawai agensi kerajaan yang terlibat.

Bagi Boon Poh, inisiatif JKMNPP menganjurkan program komuniti bertemakan ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ tersebut adalah amat bertepatan, kerana begitu banyak sindiket penyamaran sebagai golongan gelandangan belakangan ini dilaporkan.

“Pulau Pinang sememangnya menjadi tumpuan ‘pengemis’ yang sebahagian besarnya datang dari luar negeri ini.

“Perkara ini turut dibahaskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu dan dipersetujui.

“Terdapat satu kes di kawasan Bagan, yang mana seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai sami, mengemis selama dua jam dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM400 dalam tempoh tersebut,” ujar beliau.

Pada kempen tersebut, pegawai dan kakitangan JKMNPP turut mengedarkan beg goodies mengandungi risalah, sampul raya dan poster bagi menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya tidak memberi ‘sedekah’ kepada golongan yang salah.

Orang ramai yang ingin membuat aduan berhubung pengemis dan gelandangan boleh menghubungi Talian Kasih 15999.