Aidilfitri, kegembiraan dikongsi bersama

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA – Masih ada yang prihatin dengan menaja baju raya kepada 15 anak yatim terpilih dari sekitar kawasan Jalan Tenggiri baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin ketika menyerahkan sumbangan itu memuji inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Tenggiri, Muhamad Khadari Mat Salleh kerana menaja program kebajikan berkaitan.

Malah, Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan turut memuji Pengurus Kanan Gedung Parkson Sunway Carnival, Neoh Kean Teong kerana memberikan potongan harga istimewa kepada semua 15 anak yatim yang membeli baju raya di sini.

“Ini sudah tahun ketiga, tiap-tiap tahun 15 anak yatim terpilih di sekitar Jalan Tenggiri akan kita bawa ke sini, dengan setiap seorang diberi RM150 dengan mereka bebas pilih baju raya masing-masing.

“Kita berusaha sebaik mungkin untuk berkongsi kegembiraan menyambut hari lebaran Aidilfitri nanti,” katanya kepada pemberita pada majlis berkaitan.

Salah seorang penerima, Hafiz Danial Zakaria, 8, yang ditemui kemudian melahirkan rasa gembira kerana boleh berbaju raya baharu pada hari lebaran nanti.

“Saya gembira sebab pertama kali dapat baju raya percuma,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya 2.

Nada yang sama turut dikongsi oleh sepasang adik-beradik, Hafizah Daud, 7, pelajar SK Seberang Jaya 2 dan Noraira Daud, 6, pelajar Tadika Shulang dekat Jalan Tuna.

Difahamkan, pada 26 Jun lalu, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seberang Jaya turut menaja 50 anak yatim terpilih lain, untuk membeli-belah baju raya di lokasi sama.

Dalam program berasingan, Afif meneruskan tradisi menyerahkan kurma dan kuih raya kepada para pesakit terpilih di Wad Ortopedik dan Onkologi Hospital Pulau Pinang (HPP).

Exco Pembangunan Pelancongan merangkap ADUN Batu Lanchang, Danny Law heng Kiang, Cheah Kah Peng (ADUN Kebun Bungah) dan Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) turut menyertai program ramah-mesra tersebut.

“Ini adalah lawatan dan rutin tahunan saya setiap kali tibanya bulan Ramadan,” ujarnya sambil memberitahu program ramah-mesra serupa turut diadakan di Hospital Seberang Jaya.

Mereka turut meluangkan masa selama 10 minit mengunjungi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dekat HPP.}