CAT Bridge alternatif rentasi Jambatan Pulau Pinang mulai 1 September

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan percubaan bagi perkhidmatan bas percuma, ‘CAT Bridge’ sebagai laluan alternatif merentasi Jambatan Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tempoh percubaan perkhidmatan tersebut akan bermula pada 1 September 2020 sehingga 31 Disember 2020, iaitu selama empat bulan.

 

“Sepanjang tempoh percubaan empat bulan ini, Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan maklum balas daripada orang awam berhubung perkhidmatan ‘CAT Bridge’.

 

“Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk memperkenalkan perkhidmatan (‘CAT Bridge’) ini, sesuai dengan usaha menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media di Komtar tadi.

 

(Dari kiri); YEOH Soon Hin, Ketua Menteri dan Daniel Gooi Zi Sen pada sidang media pengumuman percubaan perkhidmatan CAT Bridge di Komtar hari ini.

Menurut Kon Yeow, dengan pengenalan perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini, maka perkhidmatan bas Bridge Express Shuttle Transit (BEST) yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) akan dihentikan mulai 1 September 2020.

 

“Perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini akan beroperasi di FIZ dengan jumlah perjalanan (trip) sebanyak lapan trip iaitu empat ke kawasan FIZ A dan FIZ B, empat lagi ke kawasan FIZ C.

 

“Sebelum ini, iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dua bas BEST FIZ digunakan ke kawasan perindustrian berbanding kini (percubaan) lapan trip pada waktu puncak iaitu antara jam 6:00 pagi hingga 8:15 pagi dan 4:50 petang hingga 7:00 malam,” katanya.

 

Difahamkan, perkhidmatan bas FIZ A dan FIZ B bakal merangkumi kawasan FIZ 1, 2 dan 3 manakala bagi FIZ C pula merangkumi kawasan FIZ 4 dan Taman Perindustrian Bayan Lepas (BLIP).

 

Selain ke kawasan perindustrian, Kon Yeow memaklumkan bahawa perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini juga akan melalui beberapa kawasan tumpuan utama di bahagian pulau dan Seberang Perai.

 

“Perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini akan bermula di pick-up point di Hotel Blanket, Seberang Jaya sebelum ke Megamall Penang di Jalan Baru.

 

“Seterusnya akan merentasi Jambatan Pulau Pinang dan melalui Queensbay Mall; Hab Bukit Jambul di Jalan Tun Dr. Awang dan berakhir di Hab Bayan Baru dekat Persiaran Mahsuri dengan masa perjalanan bermula dari jam 6 pagi sehingga 11 malam setiap hari.

 

PETA laluan dan waktu operasi CAT Bridge.

 

“Kekerapan pula antara 15 minit hingga 30 minit mengikut keadaan trafik semasa dengan menggunakan 18 buah bas berbanding perkhidmatan sebelum ini hanya antara enam hingga lapan buah bas sahaja,” katanya yang berharap perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini akan membolehkan orang ramai bergerak dengan mudah dan selesa antara Seberang Perai ke bahagian pulau.

 

Terdahulu, menjawab soalan pemberita berhubung peruntukan melaksanakan tempoh percubaan perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya masih menggunakan peruntukan terdahulu, hanya memperkenalkan perkhidmatan bas baharu, iaitu ‘CAT Bridge’.

 

Mengenai mewujudkan laluan khas bas di Jambatan Pulau Pinang pula, Kon Yeow yang juga Exco Pengangkutan sebagai respons berkata bahawa buat masa ini tidak diperlukan memandangkan jumlah penumpang (ridership) sedia ada dan keadaan semasa yang tidak terlalu mendesak.

 

Dalam pada itu, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklum balas, pandangan mahupun pendapat berhubung perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini melalui Sistem e-Pintas Kerajaan Negeri atau melalui emel kepada [email protected].

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD