Cari penyelesaian segera pulihkan perkhidmatan feri Pulau Pinang – Ahli Majlis MBSP

SEBERANG JAYA – Kerajaan Persekutuan digesa mencari penyelesaian segera untuk memulihkan perkhidmatan feri di negeri ini yang tergendala selama tiga hari bermula semalam berikutan masalah teknikal pada enjin.

Gesaan itu disuarakan oleh 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada sidang media seusai Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya, di sini pagi tadi.

David Marshel yang mengetuai sidang media berkenaan menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan demonstrasi sekiranya perkhidmatan feri Pulau Pinang tidak dipulihkan seperti biasa selewat-lewatnya pada Sabtu iaitu 29 Ogos 2020.

“Kita amat kesal terhadap sikap pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), pengerusi Prasarana Berhad dan Menteri Pengangkutan Malaysia yang mengaibaikan masalah perkhidmatan feri Pulau Pinang.

24 Ahli Majlis bagi MBSP menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah menyelamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang demi kepentingan penduduk di negeri ini.

“Malah, pengendali perkhidmatan feri juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai masalah teknikal yang dihadapi kepada pengguna menyebabkan rata-rata mereka berasa amat kecewa terhadap masalah ini.

“Pemberhentian perkhidmatan feri secara tiba-tiba telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk khasnya pengguna perkhidmatan ini selain menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius di Jambatan Pulau Pinang.

“Justeru, kita mendesak pihak-pihak berkaitan untuk tidak hanya memohon meminta maaf kepada penduduk Pulau Pinang, tetapi juga harus mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengatasi masalah ini.

“Sekiranya gagal, kita tidak menolak untuk mengadakan demosntrasi setiap hari sehingga masalah ini diselesaikan atau dibincangkan,” tegasnya.

David menambah, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada pengguna perkhidmatan feri berkaitan kelewatan sampai ke tempat kerja ekoran masalah tersebut.

“Kebanyakan pengguna tidak tahu mengenai masalah perkhidmatan feri yang tergendala semalam sehingga mereka tiba di terminal feri. Hal ini telah mengganggu perjalanan mereka untuk ke tempat kerja,” ulasnya.

Beliau dalam pada itu turut menggesa pengerusi SPPP supaya meletakkan jawatan sekiranya gagal menyelesaikan masalah perkhidmatan feri di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS