Cemerlang akademik macam “Kak Wan”, kata KM

Admin

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap murid-murid yang dipilih menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) di negeri ini menjadikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai sumber inspirasi mereka, dalam memburu kecemerlangan akademik di sekolah sampai ke universiti.

Menurut Guan Eng, Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh semasa melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkemuka dunia di Dublin, Ireland pada awal era 1970-an dahulu merupakan anak Melayu pertama yang dianugerahkan pingat emas MacNoughton-Jones Gold Medal.

“Biasiswa ini tidak dapat ‘membeli’ kecemerlangan akademik, melainkan anda perlu berusaha bersungguh-sungguh seperti ‘Kak Wan’ (atau nama sebenarnya) Datuk Seri Dr. Wan Azizah, hingga mendapat (pengiktirafan akademik berupa) pingat emas daripada sebuah universiti terkenal dunia di Dublin, Ireland.

“Ingatlah, sumbangan guru-guru dan ibu bapa, dan pastikan (bahawa) saya akan bertemu anda sekali lagi untuk menerima RM1,000, kerana berjaya dipilih masuk ke mana-mana universiti (awam) suatu hari nanti,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di dewan utama Yayasan An-Nahdhoh di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Dato’ Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Maktar Shapee, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Tuan Guru Ustaz Abdul Mutalib Maarof (Pengasas Yayasan An-Nahdhoh) pada majlis rasmi yang dihadiri lebih 200 hadirin berkaitan.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun 2015 meluluskan pemberian biasiswa kepada 1,591 murid terpilih, dengan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM1,222,680.

Daripada jumlah itu, seramai 447 murid dipilih daripada 27 sekolah sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU), manakala, 183 murid lain dipilih daripada 17 sekolah dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, seramai 397 murid dipilih dari 29 sekolah, termasuk 175 murid dari 14 sekolah sekitar Kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Kenaikan kali pertama yang dibuat pada tahun 2009 melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus, iaitu daripada RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah, dan RM360 kepada RM729 bagi pelajar menengah atas.

“Manakala, kali terakhir kadar Biasiswa Kecil Negeri dinaikkan adalah pada tahun 2013 yang melibatkan kenaikan sebanyak RM120, melibatkan kadar baru Biasiswa Kecil Negeri adalah RM600 bagi menengah rendah dan RM840 untuk menengah atas.

“Ini adalah jumlah yang paling tinggi yang tidak diberikan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia, melainkan (oleh Kerajaan Negeri) di Pulau Pinang,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng memberitahu bahawa pihaknya berharap pemberian Biasiswa Kecil Negeri tersebut dapat mengurangkan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak masing-masing, terutama pasca pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang membebankan sejak 1 April lalu.

Dalam pada itu, seorang pelajar dari Sungai Bakap, SPS, Jean Ang Chai Ching, 17, semasa ditemui kemudian melahirkan rasa gembira atas inisiatif Kerajaan Negeri menaikkan kadar Biasiswa Kecil Negeri.

“Saya sangat gembira kerana mendapat Biasiswa Kecil Negeri sejak di Tingkatan 3 hingga sekarang (Tingkatan 5).

“Kadar (biasiswa) naik sedikit, sangat baik kerana saya memang memerlukan biasiswa ini untuk membeli keperluan belajar seperti buku-buku,” ujar beliau, ditemani ibu, Cham Hooi Yong, 43.

Nada yang sama turut diluahkan oleh murid Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Rawa, SPT, M. Durdhashin, 14.

“Ini, kali kedua saya dapat Biasiswa Kecil Negeri selepas tahun lepas (2014).

“Gembira kerana saya boleh membeli kelengkapan sekolah saya sendiri, dan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu,” ujarnya ditemani ibu, N. Munishwary, 40, serta dua adik-beradik lain di sini.

Zarina Abd. Majid, 40-an, iaitu ibu kepada Mohd. Qayyum Shahidan, 14, turut memuji Kerajaan Negeri kerana cakna dengan kebajikan pelajar-pelajar terpilih di negeri ini.

“Tahun lepas, anak saya (Mohd. Qayyum) dapat pemberian biasiswa daripada Dr. Afif di Dewan Perda, dan kali ini daripada  Ketua Menteri pula.

“Selalunya, saya menyimpan duit biasiswa  ini, dan guna apabila benar-benar perlu untuk  kegunaan belajar anak sahaja.

“Seronoklah kerana Kerajaan Negeri sara belajar anak, lagipun Pulau Pinang ini negeri yang maju, maka, elokan Kerajaan Negeri fokus pendidikan anak-anak di Pulau Pinang ini,” respons Zarina kepada wartawan selepas selesai majlis berkaitan.