Bermula sebagai seorang DJ tanpa arah tujuan yang jelas, Yusniza Ayu Yusoff, 51, kini menemui kebahagiaan sejati dalam dunia kulinari.
Beliau pernah bergelar DJ, pegawai jualan dan ahli logistik sebelum kembali kepada minat asal iaitu memasak dan menghidang dengan penuh cerita.
Baru-baru ini, Yusniza Ayu berkesempatan berkongsi latar belakang perjalanan dan perniagaannya dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, M. DANESWARAN dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI.

Cebur diri
Perjalanan kulinari Kak Ayu bermula secara rasmi pada tahun 2019 apabila beliau membuka restoran Quallys Nusantara Kitchen, yang kini dijenamakan semula sebagai Cerita Kak Ayu.
Restoran pertamanya dibuka di Jalan Burmah sebagai langkah awal untuk memperkenalkan masakan warisan kepada masyarakat tempatan, terutamanya generasi muda yang kian melupakan rasa tradisi.

“Setiap hari saya tampilkan menu berlainan supaya pelanggan tidak jemu dan sentiasa teruja menanti sajian seterusnya.
“Antara menu paling digemari ialah Nasi Rancak, satu hidangan dengan empat variasi iaitu Lamb Grill, Ayam Percik, Ikan Cencaru dan Ayam Berempah,” kata Yusniza yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Ayu.
Menu dan keaslian
Menu di Cerita Kak Ayu sememangnya menggamit selera pengunjung yang bertandang, antaranya rendang dendeng, pajeri nenas, gulai lemak ikan salmon dan masak lemak cili padi.

“Resipi-resipi ini saya pelajari daripada nenek dan ibu kerana sejak kecil lagi saya sudah biasa berada di dapur untuk melihat mereka memasak.
“Dunia penyediaan makanan bukan sekadar memasak tetapi juga merangkumi kefahaman terhadap pengurusan kos, inventori dan kebersihan.
“Tanpa kefahaman mendalam tentang selok-belok bidang makanan dan minuman, seseorang mudah berdepan kegagalan kerana perniagaan buka bidang yang boleh diceburi tanpa persediaan,” kata Kak Ayu yang membesar dalam suasana penuh kasih sayang dan tradisi masakan Melayu.

Selain itu, Kak Ayu juga menitikberatkan aspek halal dan pengendalian bahan mentah dengan penuh teliti.
“Sebagai contoh, saya menggunakan dua mesin ais berbeza iaitu satu untuk ikan dan satu untuk minuman bagi mengelakkan pencemaran silang,” tambahnya.
Lebih menarik menurut Kak Ayu, majoriti pelanggan tetap beliau adalah terdiri daripada masyarakat berbangsa Cina.

“Ia menunjukkan bahawa makanan yang disediakan dengan kasih sayang tidak mengenal bangsa atau agama.
“Saya mahu mesej saya sampai dengan jujur yang mana apabila pelanggan merindui masakan saya, mereka tahu di mana untuk mencarinya,” ujar Kak Ayu penuh makna.
Difahamkan, beliau juga menguruskan sendiri media sosial seperti TikTok dan Facebook sebagai medium menyampaikan mesej serta nilai yang terkandung dalam setiap hidangan.
Cabaran dan harapan
Berkongsi mengenai cabaran, Kak Ayu mendedahkan bahawa beliau turut berdepan isu bahan mentah tidak halal serta usaha berterusan dalam menjaga kualiti.
Walau bagaimanapun, dengan ketekunan dan semangat yang tinggi, beliau terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri berkaitan.
“Saya pernah jatuh sakit akibat alahan terhadap klorin ketika mengendalikan operasi dahulu, namun saya tetap teruskan kerana percaya bahawa makanan ialah medium penyatuan,” katanya.

Menurut beliau, memakai sarung tangan tidak semestinya menjamin kebersihan jika tidak ditukar dengan kerap dan tangan tidak dibasuh dengan betul.
“Dalam pengendalian harian di restoran, saya pastikan setiap bahan dan ruang dikendalikan dengan penuh cermat,” tambahnya lagi.
Kini, Cerita Kak Ayu dalam perancangan untuk membuka cawangan baharu di Pulau Pinang yang bakal menampilkan elemen tradisi termasuk persembahan budaya dan dekorasi ala kampung.
Kisah hidup dan perjuangan Kak Ayu menjadi bukti bahawa kekuatan seorang wanita terletak pada keupayaannya menyentuh hati masyarakat melalui apa yang dicipta, dihidang dan diwariskan.