Cetusan idea Speaker DUN mewujudkan Sidang Wanita Pulau Pinang diiktiraf

KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Chong Eng (kiri sekali) dan Ong Bee Leng (kanan sekali) menyampaikan plak pengiktirafan IKTIRAF2022 kepada Law Choo Kiang di sini tadi.

GEORGE TOWN – Pencetus idea untuk mewujudkan Sidang Wanita Pulau Pinang beberapa tahun lepas telah meletakkan Speaker Undangan Negeri (DUN) antara 10 individu serta tiga organisasi yang tersenarai sebagai penerima pengiktirafan dalam majlis penyampaian Iktiraf Perintis Perubahan Pulau Pinang 2022 (IKTIRAF2022).

KETUA Menteri

Semasa merasmikan majlis penyampaian pengiktirafan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya memuji inisiatif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) kerana acara sulung yang dianjurkan agensi negeri tersebut tidak hanya menghadkan pencalonan dalam kalangan wanita.

“Meskipun baru pertama kali dianjurkan (IKTIRAF), sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan yang mana PWDC telah menerima lebih 71 pencalonan secara keseluruhannya.

“Selaras dengan kesaksamaan gender yang diperjuangkan, pengiktirafan kali ini juga (IKTIRAF2022) tidak hanya menghadkan pencalonan dalam kalangan wanita, (malah lelaki dan organisasi terpilih juga).

“Syabas dan tahniah kepada 13 penerima yang berjaya,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam acara berkaitan di sini pada 27 Mac 2022.

CHONG Eng

Sebelum itu, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng menjelaskan bahawa IKTIRAF2022 adalah sebahagian daripada acara pengisian di bawah Kempen Sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan selama sebulan dan berakhir pada hari ini.

“IKTIRAF2022 adalah satu inisiatif yang dirangka khusus untuk mengenal pasti dan menghargai individu-individu serta organisasi yang telah menjadi ‘Perintis Perubahan’ dan menyumbang ke arah pembangunan dan pemerkasaan wanita Pulau Pinang ke arah usaha merapatkan jurang gender bagi mencapai kesaksamaan serta keadilan sosial,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan oleh Dato’ Rohana Abdul Ghani.

BARISAN 13 pihak yang mendapat pengiktirafan IKTIRAF2022 memegang cek replika masing-masing, merakamkan gambar kenangan dengan pemimpin Kerajaan Negeri hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu lagi, IKTIRAF2022 menerima pencalonan awam seramai 54 wanita, 13 lelaki dan empat organisasi pertubuhan untuk dinilai bagi menerima anugerah berkaitan pada hari ini.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai IKTIRAF2022 serentak dengan acara penutupan Kempen Sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Shahifah Hawa Zamzuri, Prof. Madya Ir. Dr. Leo Choe Peng, Ks Pakyalakshmi Subramanian, Teoh Ean Na, Dr. Salwati Yaakub, Junior Chamber International Pearl (JCI Pearl), Log. Ts. Ooi Ai Mi, Dr. Vimaleswari K Ramasamy dan Jazz Tan Yee Mei merupakan penerima pengiktirafan IKTIRAF2022 pada kali ini.

Pada majlis sama, Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang; Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai (Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai, CEMACS, Universiti Sains Malaysia, USM); Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dipilih oleh PWDC sendiri bagi menerima ‘pengiktirafan khas’ atas sumbangan masing-masing dalam merealisasikan usaha merapatkan jurang gender di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN