GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini berada dalam fasa ujian beta bagi sistem kecerdasan buatan (AI) generatif terbaharu, ChatMBPP, yang bertujuan merevolusikan cara warga kota raya berinteraksi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ahli Majlis MBPP, Ooi Mei Mei memaklumkan bahawa pengenalan chatbot ini merupakan langkah proaktif dalam memudahkan urusan orang ramai, memandangkan aplikasi tersebut beroperasi secara berterusan selama 24 jam sehari dengan respons yang pantas.
“AI Chatbot MBPP ini sangat membantu kerana ia mampu menjawab soalan serta-merta tanpa perlu menunggu kakitangan bertugas.
“Malah, sistem ini mampu melayani banyak pertanyaan secara serentak, menjadikannya jauh lebih efisien berbanding kaedah konvensional,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa penggunaan teknologi ini secara tidak langsung membantu mengurangkan keperluan penduduk untuk hadir secara fizikal ke pejabat kerajaan.
“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah mengurangkan kos pengangkutan bagi rakyat.
“Ia secara keseluruhan meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat penting dengan lebih pantas hanya di hujung jari,” tambahnya.
Menurutnya, sesi percubaan sistem kini sedang dijalankan di Kaunter MBPP, Tingkat 3, Komtar pada 24 dan 25 Mac 2026, bermula dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Majlis Pelancaran ChatMBPP dijadualkan berlangsung pada 27 Mac 2026 di pusat beli-belah Queensbay Mall, berhampiran Pantai Jerejak.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga Pulau Pinang untuk mengambil peluang menyertai sesi ujian sistem tersebut melalui pautan dan kod QR yang disediakan bagi memberikan maklum balas demi penambahbaikan pada masa hadapan.
“Saya ingin mengajak seramai mungkin warga kota untuk mencuba sendiri sistem ini. Semoga inovasi ini membawa manfaat besar kepada seluruh komuniti di Pulau Pinang,” jelasnya.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB
—