Chong Wei terima darjah kebesaran Pulau Pinang, kini bergelar Dato’ Seri

Admin
aef39acc a5f3 4861 b10e 4a4ffd9f1c0b LEE Chong Wei (kanan) saling berjabat tangan dengan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow (tengah) sambil disaksikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang (kanan) seusai sesi pagi Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 bersempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-84 Yang Diperrtua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ramli Ngah Talib di Dewan Sri Pinang pada 30 Julai 2025.

GEORGE TOWN – Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei hari ini menerima satu lagi pengiktirafan apabila dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Legenda badminton negara itu menerima darjah kebesaran tersebut dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Ke-84 di Dewan Sri Pinang pada 30 Julai 2025.

Penghormatan itu sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan luar biasa Chong Wei dalam dunia sukan, khususnya dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa menerusi sukan badminton.

Sewaktu ditemu ramah, Chong Wei menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow atas penghormatan dan penganugerahan tersebut.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sekali lagi telah memberi penganugerahan pingat kebesaran kepada saya.

“Harapan saya, selepas ini, (agar) saya boleh memainkan peranan kembali di negeri Pulau Pinang,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Chong Wei, yang dilahirkan di Bagan Serai, Perak pada 21 Oktober 1982 dan dibesarkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, telah memahat sejarah sebagai pemain badminton nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut dari 2008 hingga 2012.

Beliau juga menjadi harapan negara dalam empat temasya Sukan Olimpik – dari Athens 2004 hingga Rio 2016 – dan memenangi tiga pingat perak berturut-turut, yang mana rekod itu adalah satu pencapaian yang masih belum disaingi oleh mana-mana atlet Malaysia.

Sepanjang kariernya, Chong Wei mencatat 713 kemenangan daripada 848 perlawanan, menjadikannya antara pemain paling konsisten dalam sejarah badminton dunia.

Beliau pernah memenangi pelbagai kejuaraan termasuk All England, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia, menjadikan beliau ikon sukan kebangsaan dan antarabangsa.

Selain sumbangan dalam bidang sukan, beliau turut aktif dalam kerja-kerja kebajikan termasuk sebagai Duta UNICEF Malaysia, dan kini berkhidmat sebagai Pengurus ‘Road to Gold’ Olimpik Paris 2024, serta Ahli Majlis Sukan Negara dan Panel Penasihat Teknikal Persatuan Badminton Malaysia.

Beliau juga merupakan Duta Sukan Negeri Johor sejak April lalu, yang mana pengaruh dan pengalaman beliau terus dimanfaatkan dalam pembangunan atlet muda di seluruh negara.

Berbekalkan rekod pencapaian serta sumbangannya dalam pembangunan sukan negara selama ini, padanlah Chong Wei pernah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’, daripada TYT terdahulu, seusai meraih pingat perak dalam Olimpik 2008.

Dalam tempoh tahun 2016 hingga 2017, beliau turut menerima pelbagai anugerah kebesaran dari negeri Perlis, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Pada pagi tadi, Chong Wei dikurniakan D.G.P.N pula, iaitu suatu darjah kebesaran ini dizahirkan pada tahun 1996 dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang menyumbang perkhidmatan cemerlang serta mempunyai taraf kedudukan tertinggi.

Mereka yang dikurniakan darjah D.G.P.N ini digelar Dato’ Seri dan isteri penerima digelar Datin Seri.

Kurniaan ini dihadkan kepada tiga ratus orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat.

Darjah kebesaran ini mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.

Tahniah Dato’ Seri (Dr.) Lee Chong Wei!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN