CLQ wujudkan penempatan pekerja asing lebih terancang, sistematik

img 20251118 wa0081

GEORGE TOWN – Projek pembinaan penginapan pekerja berpusat (CLQ) dapat membantu mewujudkan penempatan yang lebih terancang dan sistematik bagi pekerja asing di kawasan yang ditetapkan.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, projek itu juga mampu menjadi mekanisme berkesan dalam meningkatkan sistem pengawalan keselamatan yang tinggi untuk penghuni asrama serta penduduk di sekitarnya.

 

“Projek CLQ juga dapat mengurangkan tukar guna bangunan atau premis tanpa kebenaran, sekali gus menghalang kawasan perumahan daripada dipenuhi pekerja asing.

 

“Selain itu, kawalan kesihatan awam dan kebersihan melalui pemusatan penginapan pekerja akan membolehkan agensi kesihatan menjalankan pemeriksaan dan rawatan berkala bagi mencegah penyakit berjangkit dan memastikan tahap kebersihan yang lebih baik.

 

“Malah, penempatan pekerja asing secara berpusat ini dapat memudahkan pengawasan oleh pihak berkuasa untuk melaksanakan sebarang penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam Sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah.

 

Sungguhpun demikian, Mooi Lye menegaskan bahawa kelulusan pembinaan CLQ hanya akan diberikan sekiranya permohonan yang dikemukakan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

“Kerajaan Negeri dan kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memandang serius terhadap setiap permohonan pembangunan CLQ.

 

“Setiap pembangunan projek CLQ di negeri Pulau Pinang perlu dikemukakan kepada PBT, iaitu MBPP bagi bahagian Pulau dan MBSP bagi bahagian Seberang Perai.

 

“Kelulusan hanya akan diberikan sekiranya permohonan yang dikemukakan mematuhi Garis Panduan Perancangan Pembinaan Penginapan Pekerja di Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 dan mana-mana syarat yang ditetapkan oleh PBT,” tegasnya.

 

Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran, Mooi Lye menjelaskan bahawa kelulusan yang diberikan bagi penginapan pekerja sementara (TLQ) adalah bersifat sementara iaitu selama tiga tahun yang akan berakhir pada 31 Disember 2027.

 

Menurutnya, kelulusan yang diberikan adalah berdasarkan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Sementara di kawasan PBT Negeri Pulau Pinang yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

 

“Garis panduan berkenaan juga telah dibuat pindaan berdasarkan kepentingan semua pihak dan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 12 Februari 2025 serta berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025.

 

“Ini merupakan langkah penyelesaian jangka pendek yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu penginapan pekerja untuk mengurangkan kesan negatif susulan penempatan warga asing dalam komuniti selain memastikan kesejahteraan dan keharmonian penduduk tempatan dipelihara,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Mooi Lye memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak lagi akan mempertimbangkan sebarang permohonan baru TLQ selepas 31 Disember 2025.

 

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui PBT akan memberi tumpuan untuk membantu pemohon TLQ sedia ada untuk beralih ke CLQ berpandukan garis panduan sedia ada,” katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Pulau Pinang juga sedang dalam peringkat penilaian dan kajian Garis Panduan Perancangan Pembinaan Penginapan Pekerja Di Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

 

“Kerajaan Negeri memang memberi perhatian dan sedang dalam perbincangan untuk pertimbangkan zon industri (ringan dan sederhana), dibenarkan untuk mewujudkan CLQ dalam premis sendiri bagi kegunaan pekerja sendiri sahaja.

 

“Selain itu, zon komersial yang telah dijadikan sebagai TLQ boleh ditukar guna kepada CLQ, manakala zon perumahan adalah sama sekali tidak akan dipertimbangkan untuk mewujudkan CLQ.

 

“Ini bermaksud, bagi TLQ yang berada di zon perumahan hendaklah dipindahkan ke CLQ selepas tamat tempoh permit dan tarikh terakhir adalah pada 31 Disember 2027.

 

“Manakala, bagi TLQ yang berada di zon perniagaan atau zon komersial akan diteliti kebolehlaksanaan untuk ditukarkan kepada CLQ,” ujarnya sambil menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan projek pembinaan CLQ yang telah menerima kelulusan Kebenaran Merancang.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan pekerja asing yang berdaftar di Pulau Pinang kini adalah seramai 146,297 orang berdasarkan maklumat dan statistik terkini yang diperoleh daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

 

“Daripada jumlah itu, seramai 110,876 orang adalah pekerja lelaki dan wanita (35,421 orang).

 

“Terdapat tujuh sektor utama yang menempatkan pekerja asing di Negeri Pulau Pinang iaitu dengan jumlah yang teramai di sektor perkilangan, diikuti pembinaan, perkhidmatan, pembantu rumah asing, pertanian, peladangan dan yang terakhir adalah pembuatan,” katanya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN